JOHOR BAHRU – MCA menyifatkan prestasi memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 membuktikan parti itu perlu terus memberi perkhidmatan terbaik untuk memenangi hati pengundi.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, faktor itu dibuktikan apabila parti itu berjaya menambah jumlah wakil rakyat daripada empat kepada lapan pada PRN ini berbanding tahun 2022 lalu.
“Pencapaian MCA tidak terhad kepada kemenangan lebih banyak kerusi malah turut dicerminkan melalui peningkatan jumlah majoriti yang diperoleh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyandang.
“Kemenangan di kawasan Dewan Undangan Negeri yang sebelum ini menyaksikan MCA kalah tipis menunjukkan bahawa usaha dan kerja keras yang dilakukan selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini malam tadi.
Berdasarkan keputusan rasmi, MCA berjaya mempertahankan empat kerusi penyandang iaitu DUN Yong Peng, Paloh, Bekok dan Pekan Nanas manakala merampas kerusi DUN Tangkak, Jementah, Johor Jaya dan Layang-Layang.
“Wakil rakyat MCA, sama ada yang baharu mahu pun yang mengekalkan kerusi untuk membalas kepercayaan pengundi dengan bekerja lebih keras di kawasan masing-masing.
“Kita mesti terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh tawaduk dan dedikasi. Kita tidak akan mengabaikan mana-mana kawasan atau mana-mana pengundi yang telah menyokong kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















