KUALA LUMPUR – Taktik tiga lelaki tempatan menjadikan sebuah pondok di kawasan ladang getah di Kampung Bendang Kerian, Tumpat, Kelantan sebagai lokasi memproses air ketum sejak hampir lima tahun terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA), Sabtu lalu.
PGA dalam kenyataan berkata, ketika serbuan pada jam 7.30 petang itu, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri ke kawasan semak sebelum berjaya diberkas.
Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu, termasuk dapur gas, tong gas, periuk, tong ais, penimbang, tiga kilogram daun ketum dan 138 bungkus air ketum dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6,460.
“Dalam soal siasat, suspek mengaku memproses dan menjual sendiri air ketum pada harga RM10 sebungkus serta mampu menghasilkan kira-kira 100 bungkus sehari bagi pasaran tempatan.
“Mereka turut mengaku mendapatkan bekalan daun ketum daripada seorang lelaki tempatan di Kampung Jubakar pada harga RM25 sekilogram mengikut keperluan.
“Siasatan awal juga mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak hampir lima tahun dengan lokasi operasi yang sering berubah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.
Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette















