KUALA PILAH – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke mendakwa pihak lawan terpaksa memainkan sentimen dan menyebarkan pelbagai fitnah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana tidak mempunyai modal untuk mempertikaikan rekod pencapaian kerajaan negeri yang diterajui PH sejak 2018.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri berjaya mengekalkan kestabilan politik, meningkatkan rizab negeri, menarik lebih banyak pelaburan serta memperluaskan pelbagai dasar kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, Negeri Sembilan juga menjadi satu-satunya negeri yang kekal ditadbir PH sepanjang penggal selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) meskipun beberapa negeri lain tumbang susulan krisis politik yang melanda negara.
“Disebabkan mereka tidak boleh menyerang rekod prestasi kita, mereka memilih untuk memainkan sentimen dan menyebarkan pelbagai fitnah termasuk naratif kononnya semua salah DAP,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam tadi.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, antara dakwaan yang dimainkan ialah cubaan mengaitkan beliau dengan isu membabitkan institusi diraja serta tuduhan kononnya wujud usaha mencetuskan ketegangan antara institusi adat di Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan sengaja diwujudkan bagi membangkitkan sentimen rakyat menjelang hari pengundian.
“Saya minta semua jentera turun padang dan jelaskan kepada rakyat bahawa semua dakwaan ini adalah fitnah. Jangan biarkan mereka menguasai naratif dengan memainkan sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, PH tidak akan mengikut rentak pihak lawan dengan membalas fitnah menggunakan fitnah atau memainkan sentimen perkauman bagi meraih sokongan.
Sebaliknya kempen PH akan terus berteraskan rekod pencapaian kerajaan negeri serta tawaran untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, progresif dan inklusif demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dinikmati Negeri Sembilan sejak 2018 telah mewujudkan keyakinan pelabur dan membolehkan pelbagai projek pembangunan serta peluang pekerjaan diwujudkan untuk rakyat.
Sehubungan itu, Anthony menyeru seluruh jentera PH supaya memperkukuhkan usaha menyampaikan pencapaian kerajaan kepada rakyat serta menolak politik kebencian dan fitnah yang disifatkannya tidak membawa manfaat kepada masa depan negeri. – MalaysiaGazette
















