KUALA PILAH – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke mengingatkan semua pemimpin dan jentera parti supaya menjaga adab sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan tidak menjadikan institusi Raja Berperlembagaan serta adat negeri itu sebagai bahan gurauan atau sindiran.
Beliau berkata, setiap petugas parti perlu lebih berdisiplin ketika berkempen kerana Negeri Sembilan mempunyai sistem adat yang perlu dihormati oleh semua pihak.
Menurutnya, sebarang kenyataan atau gurauan yang menyentuh institusi diraja dan adat Negeri Sembilan boleh disalah tafsir serta dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik.
“Kita mesti menjaga tata susila dan tutur kata sepanjang kempen. Jangan sesekali bergurau atau membuat jenaka mengenai sistem adat Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang di sini malam tadi.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sekiranya terdapat mana-mana pemimpin atau petugas yang tersasul mengeluarkan kenyataan menyentuh institusi berkenaan, mereka perlu segera memohon maaf kepada pihak yang terbabit.
Beliau menegaskan DAP dan PH sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan institusi Raja Berperlembagaan.
Katanya, di Negeri Sembilan, PH turut menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin yang menjadi sebahagian daripada keunikan sistem pemerintahan dan adat negeri itu.
“Negeri Sembilan mempunyai adat dan sistemnya yang tersendiri. Kita hormati Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Jangan sesekali kita menyentuh perkara yang boleh menimbulkan salah faham.
“Tak ada Undang yang kelima,” tegasnya.
Beliau berkata, semua jentera PH perlu menumpukan kempen kepada rekod pencapaian kerajaan negeri serta tawaran kepada rakyat, bukannya terbabit dalam polemik yang boleh menjejaskan keharmonian dan kempen gabungan itu.
Anthony turut mengingatkan penyokong PH supaya tidak melayan provokasi pihak tertentu yang cuba memainkan isu berkaitan institusi diraja dan adat semata-mata untuk meraih sokongan menjelang hari pengundian. -MalaysiaGazette
















