Laporan berhubung kehilangan Shahir Zainul yang dibuat oleh ibunya.

BAYAN LEPAS – Misteri kehilangan seorang lelaki berusia 45 tahun sejak 10 Jun lalu masih belum terungkai apabila mangsa belum ditemukan sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Shahir Zainul yang dibuat oleh ibunya pada 12 Jun lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki warga tempatan yang tidak bekerja itu kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Jun lalu.

“Shahir dipercayai keluar dari rumah dengan menunggang sebuah motosikal Yamaha Lagenda berwarna biru.

“Bagaimanapun, motosikal berkenaan ditemukan ditinggalkan di tepi Jalan Lebuh Bukit Jambul sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang,” katanya di sini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Shahir diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04 866 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast