KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung seorang lelaki dakwa diserang dengan senjata tajam ketika beratur menunggu bas berhampiran sebuah universiti tempatan di Wangsa Maju di sini sehingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima laporan polis daripada mangsa berkaitan kes terbabit.
“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum ada tangkapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu tular video memaparkan seorang lelaki diserang dengan senjata tajam ketika beratur di sebuah perhentian bas hingga mangsa mengalami kecederaan.
Dalam video itu, seorang lelaki berpakaian hitam memegang senjata tajam tiba-tiba menyerang lelaki berpakaian putih dengan berulang kali menendang dan menikamnya. – MalaysiaGazette
















