Fahmi ketika menghadiri penamaan calon PH di bawah Parlimen Jempol, iaitu Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, pagi tadi.

JEMPOL – Prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 akan menjadi antara sandaran utama Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, rekod pentadbiran Aminuddin menunjukkan pencapaian positif termasuk peningkatan kutipan zakat, hasil negeri serta kemasukan pelaburan baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita lihat prestasi pentadbiran Tok Min, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 hingga sekarang merupakan prestasi yang sangat baik seperti zakat meningkat, kutipan hasil bagi negeri meningkat dan pelaburan masuk.

“Terkini ada satu pelabuhan baharu yang akan dibina dan pelaburan-pelaburan seperti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan tambahan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri proses penamaan calon di bawah Parlimen Jempol, iaitu Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, pagi tadi.

PH mempertaruhkan Yaacob Mahmood (Amanah-Serting), Muhammad Zahin Zinal Abidin (PKR-Palong), G. Manivannan (PKR-Jeram Padang) dan penyandang, Teo Kok Seong (DAP-Bahau).

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu peluang pekerjaan merupakan antara perkara yang paling kerap dibangkitkan terutama oleh golongan muda di kawasan seperti Jempol dan Jeram Padang.

“Jadi, saudara Manivannan nanti akan menyantuni dan memberi harapan kepada anak-anak muda di DUN Jeram Padang tentang pekerjaan yang boleh dijana sekitar Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pengguna media sosial supaya mengamalkan kempen secara sihat dengan mengelakkan penyebaran fitnah, berita palsu dan isu berunsur 3R.

Beliau turut berharap semua calon menerima liputan media yang adil, selain kebajikan petugas media terus diberi perhatian sepanjang tempoh berkempen.

“Kita akan berkempen dengan sihat, kita akan lihat kepada prestasi dan elak daripada kempen mencaci, fitnah itu tidak sihat untuk demokrasi negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast