KUALA LUMPUR – Debaran menjelang final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina awal pagi Isnin ini mencetuskan perbincangan hangat antara penganalisis bola sepak tempatan mengenai pasukan mana yang bakal menjulang trofi berprestij itu.
Dua bekas penyerang kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali dan Azlan Johar meletakkan Sepanyol sebagai pilihan, manakala penganalisis bola sepak Stanley Bernard percaya Argentina mampu mengekalkan gelaran.
Bagi Safee, persembahan meyakinkan Sepanyol ketika menewaskan Perancis di separuh akhir membuktikan skuad bimbingan Luis de la Fuente berada pada landasan terbaik untuk muncul juara, walaupun pada masa sama tidak boleh memandang rendah kehebatan Argentina.
Safee berkata penguasaan bahagian tengah akan menjadi penentu perlawanan dengan Rodri dan Pedri dijangka memainkan peranan penting untuk memastikan Sepanyol mengawal rentak permainan, sebelum meramalkan kemenangan 2-1 memihak kepada skuad La Roja.
Sementara itu, Azlan melihat pentas akhir itu sebagai pertembungan dua falsafah permainan, dengan Argentina lebih gemar membina serangan secara berperingkat, manakala Sepanyol tampil agresif sejak awal permainan.
Beliau berkata Argentina diakui melakukan lebih banyak hantaran tetapi lawan mereka di pentas final adalah Sepanyol yang mempunyai benteng pertahanan terbaik dalam Piala Dunia edisi ini apabila hanya bolos satu jaringan. – BERNAMA
















