KUALA LUMPUR – Kejohanan Futsal Merdeka ‘World Cup 2026’ bukan sekadar medan mencungkil bakat sukan malah menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti Taman Kantan Permai.
Dianjurkan Persatuan Muafakat Taman Kantan Permai Bersatu (PMTKPB) bersama Persatuan Penduduk Taman Kantan Permai (PPTKP), kejohanan itu berlangsung di Padang Futsal Taman Kantan Permai dengan menghimpunkan golongan belia, penduduk serta komuniti setempat.
Penaung program yang juga Pengerusi PMTKPB, Mohd Razali Kamarudin berkata, selain menggalakkan gaya hidup sihat dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia, kejohanan berkenaan turut membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi, bekerjasama dan mengeratkan ukhwah tanpa mengira latar belakang.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen PMTKPB dan PPTKP dalam membina komuniti yang aktif, bersatu dan prihatin.

“Pihak penganjur berharap Kejohanan Futsal Merdeka World Cup 2026 dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah melahirkan komuniti yang sihat, aktif dan harmoni,” katanya yang turut memaklumkan Pengerusi PPTKP, Mohd Ismail Hori bertindak sebagai penasihat program. – MalaysiaGazette
















