Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin

KUALA PILAH – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yakin kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin diterima di peringkat akar umbi dan akan diterjemahkan menerusi keputusan pengundian pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, penerimaan itu dapat dilihat berdasarkan maklum balas yang diterima daripada jentera di beberapa kawasan sejurus selesai proses penamaan calon semalam.

Menurutnya, walaupun Kuala Pilah tidak menyaksikan calon PN bertanding atas semangat kerjasama yang dipersetujui, laporan daripada kawasan lain menunjukkan jentera kedua-dua pihak mula menyesuaikan diri dengan pendekatan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini hari ini, selepas hadir memberi sokongan kepada calon BN DUN Pilah, Suzlyana Mahayuddin.

Megat Zulkarnain yang turut terlibat dalam War Room BN berkata, berdasarkan laporan yang diterimanya daripada tujuh kawasan Parlimen lain, kerjasama antara BN dan PN berjalan dalam suasana yang positif.

Katanya, sambutan yang ditunjukkan penyokong serta jentera pada hari penamaan calon memberi keyakinan bahawa kerjasama itu semakin diterima.

“Walaupun di Kuala Pilah tidak ada calon PN bertanding atas semangat kerjasama ini, laporan yang saya terima daripada tujuh Parlimen lain amat positif.

“Saya sendiri terlibat dalam War Room dan apa yang saya lihat di peringkat akar umbi khususnya pada hari penamaan calon, rata-rata mereka sudah dapat menerima kerjasama ini,” ujarnya.

Menurut beliau, penerimaan tersebut penting bagi memastikan seluruh jentera memberi tumpuan kepada usaha memenangi pilihan raya dan bukannya terus membahaskan soal kerjasama politik.

“Sekarang tumpuan kita ialah bekerja untuk memastikan kemenangan calon-calon BN dan rakan kerjasama. Itu yang lebih penting,” katanya.

Megat Zulkarnain optimis kesepakatan yang ditunjukkan di peringkat akar umbi akan diterjemahkan oleh pengundi pada hari pengundian nanti.

PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada Jun lalu, dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos, manakala kempen berlangsung selama 14 hari bermula hari penamaan calon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast