SEREMBAN – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin mencabar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh supaya mengarahkan semua menteri, timbalan menteri serta Exco UMNO melepaskan jawatan sekiranya parti itu benar-benar memilih untuk bekerjasama dengan Pas.
Menurutnya, UMNO tidak seharusnya terus kekal dalam Kerajaan Madani jika pada masa sama menjalinkan kerjasama politik dengan Pas bagi menentang Pakatan Harapan (PH).
“Jika benar UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pas sudah cukup kuat dan mempunyai angka, keluarlah daripada kerajaan Madani dengan bermaruah.
“Blok yang lebih kecil ahli Parlimen yang sepatutnya keluar daripada kerajaan, bukannya mencabar blok yang lebih besar.
“Arahkan semua menteri dan timbalan menteri UMNO meletakkan jawatan, termasuk Exco UMNO dalam Kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Danish berkata, tindakan terus menyerang kerajaan sambil masih menikmati kedudukan dalam pentadbiran hanya memperlihatkan sikap yang tidak konsisten.
Beliau mendakwa rakyat kini dapat melihat dengan jelas perkembangan politik yang berlaku apabila UMNO dan Pas dilihat semakin rapat, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, jika UMNO benar-benar sudah memilih Pas sebagai rakan politik, parti itu tidak sepatutnya terus berlindung di bawah Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan mahupun kerajaan negeri yang diterajui PH.
“Jangan siang berkempen bersama Pas untuk menjatuhkan PH tetapi malam masih menikmati jawatan hasil kerjasama dengan Pakatan Harapan. Itu bukan prinsip. Itu hipokrasi politik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Danish turut mengungkit tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan yang sebelum ini menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau mendakwa Akmal sendiri mempertahankan tindakan berkenaan ketika itu, sekali gus menyifatkannya sebagai budaya politik UMNO yang sanggup menggugat kerajaan walaupun masih berada dalam pentadbiran.
“Ketika masih berada dalam kerajaan, mereka sanggup menebuk atap rumah sendiri demi percaturan kuasa. Sebelum ini mereka mengkhianati Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali ke Putrajaya.
“Hari ini mereka pula menyerang Kerajaan Madani yang mereka sendiri sertai,” katanya.
Danish berkata, keadaan itu berbeza dengan Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menurutnya kekal mempertahankan kestabilan kerajaan walaupun memilih untuk bertanding secara terbuka apabila tiba pilihan raya.
Beliau mendakwa UMNO kini mahu berada di kedua-dua pihak, iaitu kekal dalam kerajaan sambil menjalinkan kerjasama dengan Pas bagi menjatuhkan PH.
“Kalau benar bercakap soal maruah dan prinsip, mulakan dengan parti sendiri. Suruh menteri dan timbalan menteri UMNO keluar daripada Kerajaan Persekutuan, suruh Exco UMNO keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor.
“Kalau hati sudah bersama Pas, keluarlah daripada Kerajaan Madani dengan bermaruah. Jangan pegang kuasa di sebelah tangan, tetapi mengasah pisau untuk menikam rakan sendiri dengan tangan yang satu lagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















