Sebahagian individu warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Taktik berselindung di sebalik operasi pusat hiburan akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 17 warga asing selepas mengesan kegiatan dipercayai menawarkan khidmat wanita kepada pelanggan dalam serbuan Ops Gegar di dua premis hiburan di sekitar Fraser Business Park, Pudu, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan itu dibuat hasil aduan awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia di Putrajaya.

Menurut beliau, seramai 40 pegawai penguat kuasa pelbagai pangkat bersama 10 pegawai daripada agensi sahabat digerakkan ke lokasi berkenaan kira-kira pukul 4 pagi pada 18 Julai lalu.

“Hasil operasi, seramai 203 individu yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 17 warga asing melibatkan 10 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan tujuh Borang IMM.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut Zakaria, pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik salah seorang orang kena tahan (OKT) menemukan rekod perbualan, transaksi serta katalog yang dipercayai digunakan untuk menawarkan khidmat wanita kepada pelanggan.

Ops Gegar yang dijalankan di sekitar Fraser Business Park, Pudu, awal pagi tadi.

“Susulan penemuan itu, sepasang suami isteri warga Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai pengendali aktiviti tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis minuman keras pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan RM11,420.31 melibatkan anggaran cukai sebanyak RM26,380.31.

Kes rampasan berkenaan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA untuk tindakan lanjut.

Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Zakaria menegaskan, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas yang diberikan.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” tegasnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast