KAJANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan lagi harga petrol kerana negara kini menanggung subsidi petrol dan diesel sebanyak RM40 bilion setahun.
Menurut beliau, dakwaan segelintir pihak bahawa harga petrol boleh diturunkan sehingga 50 sen seliter tidak realistik berdasarkan keadaan pasaran semasa.
“Saya tengok dalam media sosial orang kata, ‘Anwar tak turun harga minyak’. Saya pun tidak faham. Ada yang kata, harga sepatutnya turun sehingga 50 sen.
“Ketika cadangan itu dibuat dahulu, harga petrol di Arab Saudi sekitar 50 sen seliter. Sekarang di Arab Saudi pun harganya sekitar RM2.40 hingga RM2.50 seliter walaupun mereka antara pengeluar petroleum terbesar dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, Malaysia masih mengimport hampir 50 peratus keperluan petroleum negara namun kerajaan masih mampu mengekalkan harga petrol pada kadar RM1.90 seliter menerusi pemberian subsidi yang besar.
“Setiap kali saudara mengisi minyak, terdapat suntikan subsidi daripada kerajaan. Keseluruhannya mencecah RM40 bilion setahun untuk petrol dan diesel.
“Orang boleh kata suruh turunkan lagi harga minyak, tetapi siapa yang hendak membayarnya?” soalnya.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak mahu terus menambah hutang negara semata-mata untuk menampung subsidi yang lebih tinggi.
Mengulas dakwaan bahawa hutang kerajaan semakin meningkat, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, hakikatnya nisbah hutang kerajaan semakin berkurangan walaupun jumlah bayaran hutang masih tinggi.
Menurutnya lagi, keadaan itu berlaku kerana kerajaan perlu melunaskan bayaran faedah dan komitmen hutang yang ditinggalkan sebelum ini.
“Kita masih membayar hutang 1MDB. Bagaimana hendak nafikan perkara itu?” katanya. – MalaysiaGazette
















