PORT DICKSON – Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin menafikan dakwaan yang tular kononnya beliau tidak berpuas hati selepas tidak dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah.
Menurutnya, beliau menghormati sepenuhnya keputusan pucuk pimpinan PKR yang menamakan semula Datuk Yew Boon Lye bagi mempertahankan kerusi itu dan tetap memberi sokongan bagi memastikan kemenangan PH di DUN berkenaan.
Ujarnya, meskipun pada peringkat awal beliau merupakan antara calon yang mahu diketengahkan oleh pucuk pimpinan parti, namun ia tidak diteruskan disebabkan terdapat isu teknikal.

Jelas beliau, isu itu memakan masa untuk ditangani dan memandangkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin hampir, maka pucuk pimpinan parti membuat keputusan mengekalkan Boon Lye di kerusi DUN Chuah.
“Keputusan agar saya tidak bertanding pada pilihan raya kali ini bukan disebabkan parti hilang kepercayaan terhadap saya, dan juga bukan kerana saya melakukan sebarang kesalahan.
“Namun, memandangkan proses pembaikan rekod sistem memerlukan tempoh masa, sementara tarikh hari penamaan calon telah tiba, saya bersama kepimpinan parti telah membuat keputusan strategik ini untuk memastikan kemenangan PH di DUN Chuah terjamin,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon PH DUN Linggi; Boon Lye dan calon PH DUN Sri Tanjung, Dr Rajasekaran.
Terdahulu, pengundi di beberapa kawasan di DUN Chuah dan Sri Tanjung dikejutkan dengan poster yang diedarkan di kawasan mereka yang mendakwa Kenny Chiew tidak berpuas hati selepas tidak dipilih sebagai calon DUN Chuah pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Poster itu turut menggambarkan seolah-olah wujud perpecahan dalaman khususnya dalam kalangan pemimpin dan penyokong PKR di Port Dickson.
Sementara itu, Kenny Chiew memberi jaminan beliau akan terus berada di belakang pasukan parti supaya jentera pilihan raya PH dan PKR dapat memberi fokus sepenuhnya kepada agenda membela rakyat tanpa sebarang gangguan teknikal.
Tegas beliau, khidmatnya kepada rakyat juga tidak bergantung sama ada beliau diberi jawatan atau watikah calon pada pilihan raya.
“Sama ada saya memegang jawatan atau tidak, hati dan jiwa saya tetap kekal di Chuah.
“Kepimpinan parti juga telah memberi jaminan bahawa khidmat serta pengalaman saya akan terus diguna pakai melalui platform yang sesuai selepas pilihan raya ini tamat,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan turut menafikan wujudnya perpecahan dalaman PKR seperti yang ditularkan khususnya di DUN Chuah dan Sri Tanjung.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan penjelasan yang dibuat Kenny Chiew dan Boon Lye hari ini dapat memperjelaskan kedudukan sebenar, sekali gus menangkis fitnah dan dakwaan yang ditularkan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan supaya setiap parti bertanding berkempen secara berintegriti dan baik, serta mengelakkan budaya yang boleh memecahbelahkan rakyat.
“Kita kenalah berintegriti dalam berkempen. Saya rasa tunjukkan cara kempen yang baik. Kita dalam negeri yang beradab dan beradat, saya harap patuhi peraturan.
“Dan saya harap semua masyarakat melihat dan menilai apa yang dilakukan oleh ahli parti-parti politik dalam berkempen ini,”. – MalaysiaGazette
















