SANAA – Kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi pada Isnin, sekali gus meningkatkan ketegangan dalam konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran apabila kumpulan itu mengancam keupayaan pengeksport minyak terbesar dunia itu untuk memintas Selat Hormuz.
Houthi bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana sekatan itu akan dikuatkuasakan.
Pengumuman tersebut dibuat ketika Iran menyatakan ia kembali berada dalam keadaan “perang berskala penuh” dengan AS, selain Washington dan Tehran terus bersaing menguasai laluan strategik Selat Hormuz.
Arab Saudi dan Houthi turut berbalas serangan minggu lalu buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus mengancam gencatan senjata yang dicapai pada 2022 meskipun perjanjian itu telah tamat tempoh.
Pertukaran serangan itu tercetus selepas sebuah pesawat Iran dari Tehran cuba mendarat di Sanaa, sekali gus mencabar penguasaan Arab Saudi terhadap ruang udara Yaman.
Sekatan maritim yang diumumkan Houthi, jika benar-benar dikuatkuasakan, dijangka memberi tekanan tambahan kepada ekonomi Arab Saudi dengan menjejaskan akses ke pelabuhan negara itu di Laut Merah yang menjadi laluan penting eksport minyak ketika pertempuran di Selat Hormuz kembali memuncak.
Ia juga berpotensi menjejaskan pasaran global yang bergantung kepada Arab Saudi sebagai pengeksport minyak mentah terbesar dunia dengan pengeluaran melebihi 10 juta tong sehari.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, kumpulan itu mengisytiharkan “sekatan maritim terhadap musuh jenayah Arab Saudi berdasarkan prinsip ‘mata dibalas mata’, berkuat kuasa serta-merta.”
Penyelidik Chatham House yang berpangkalan di London, Farea al-Muslimi berkata, tindakan itu merupakan cubaan Houthi untuk membawa konflik secara langsung dengan Arab Saudi.
“Perang yang menyasarkan penghantaran minyak Arab Saudi adalah perang terhadap dunia,” katanya.
Sebelum ini, Houthi pernah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap kapal yang melalui Laut Merah bermula November 2023 ketika perang Gaza, menyebabkan banyak kapal mengubah laluan mengelilingi benua Afrika berbanding menggunakan Terusan Suez.
Yaman berkongsi sempadan darat dan pesisir pantai dengan Arab Saudi. Pelabuhan Yanbu di Laut Merah menjadi laluan penting eksport minyak Arab Saudi bagi mengelakkan Selat Hormuz yang kini terjejas akibat konflik Iran-AS.
Konflik semasa tercetus pada akhir Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran sebelum Tehran membalas dengan melancarkan serangan di beberapa lokasi di Asia Barat, dengan negara-negara Teluk menerima kesan paling besar.
Walaupun kedua-dua negara pernah mencapai gencatan senjata bulan lalu, perjanjian itu kemudiannya gagal dipertahankan dan ketegangan kembali memuncak.
Menurut Saree, sekatan maritim itu dibuat sebagai tindak balas terhadap sekatan Arab Saudi ke atas pelabuhan dan lapangan terbang di kawasan dikuasai Houthi serta serangan ke atas Lapangan Terbang Sanaa minggu lalu.
“Kami membalas sekatan dengan sekatan. Sebarang tindakan bodoh oleh musuh Arab Saudi akan dibalas dengan tindakan yang lebih menyeluruh dan tegas,” katanya.
Minggu lalu, Houthi melancarkan serangan peluru berpandu ke sebuah lapangan terbang di bandar Abha, Arab Saudi selepas kerajaan Yaman memaklumkan pihaknya menyerang Lapangan Terbang Sanaa bagi menghalang sebuah pesawat dari Iran yang membawa delegasi Houthi daripada mendarat.
Houthi menuduh Riyadh bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Sejak lebih sedekad lalu, semua pesawat yang memasuki ruang udara Yaman perlu mendapatkan kelulusan awal daripada gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman.
Houthi berperang dengan kerajaan Yaman sejak 2014 dalam konflik yang telah meragut ratusan ribu nyawa serta mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia. – Agensi
















