TIDAK seperti di Johor yang mana Barisan Nasional (BN) diketahui lebih dominan, persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagaimanapun berlangsung pada padang yang seimbang dan terbuka.
Meskipun PH pada PRN 2023 muncul sebagai parti yang lebih banyak memenangi kerusi iaitu sebanyak 17 DUN, namun ia belum mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Prestasi BN ketika itu juga tidak jauh berbeza dengan PH apabila kekurangan tiga kerusi selepas menang 14 DUN, dengan selebihnya iaitu lima lagi kerusi menjadi milik Perikatan Nasional (PN).
Senario pada PRN Negeri Sembilan kali ini juga jauh berbeza dengan PRN 2023 apabila BN membuat jajaran politik baharu dengan PN bagi menentang DAP.
Buat masa ini, formula itu memberikan lonjakan sokongan luar biasa di Johor apabila BN berjaya menambah lapan lagi kerusi DUN berbanding PRN lalu.
Disebabkan itu, PRN Negeri Sembilan kali ini tidak lagi boleh dianggap medan pertarungan politik yang selesa atau boleh dimenangi dengan mudah oleh PH.
Ketika ini yang mana kempen PRN Negeri Sembilan masih di peringkat awal, persaingan antara PH dan BN-PN dilihat masih seimbang dengan kedua-dua parti kekal mendominasi di kubu kuat masing-masing.
Namun, gabungan BN-PN dilihat sedikit mempunyai kelebihan dari segi kemampuan memanfaatkan jentera bersama, mengelakkan pertembungan sesama sendiri serta memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang berpotensi dimenangi.
PH pula masih mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya di beberapa kawasan bandar dan separa bandar.
Namun, seperti yang dikongsikan pemerhati politik tempatan, Felo Penyelidik Aegis Research, Dr. Hussain Yusri Zawawi, jika ingin mengekalkan penguasaan, PH perlu mengelakkan beberapa perkara yang pernah menjadi isu ketika PRN Johor.

Antaranya, kata beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), PH perlu mengelakkan terlalu bergantung kepada sentimen nasional sehingga mengabaikan isu tempatan yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat.
Jelasnya, pengundi negeri lazimnya lebih menilai soal kos sara hidup, pembangunan setempat, peluang pekerjaan dan keberkesanan wakil rakyat berbanding polemik politik di peringkat Persekutuan.
Selain itu, tambah beliau, PH juga perlu memastikan kempen mereka tidak dilihat terlalu defensif atau menyerang pihak lawan secara berlebihan.
“Pengundi pada masa kini semakin cenderung kepada kempen yang menawarkan penyelesaian dan hala tuju yang jelas, bukannya pertikaman lidah politik.
“Jika kempen terlalu tertumpu kepada menyerang lawan, ia mungkin tidak memberi kesan positif kepada pengundi atas pagar,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Begitupun, menurut Hussain Yusri, keputusan PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, masih bergantung kepada tiga faktor utama iaitu tahap keluar mengundi, kemampuan parti menggerakkan penyokong pada hari pengundian dan kejayaan mempengaruhi pengundi atas pagar sepanjang tempoh kempen.
Ujarnya, dalam pilihan raya negeri, kemenangan bukan sekadar ditentukan oleh siapa paling kuat berkempen, tetapi siapa yang paling berjaya meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membawa kestabilan, menyelesaikan masalah setempat dan memenuhi harapan pengundi.
Sehubungan itu, jelasnya, walaupun terdapat beberapa petunjuk awal yang memberi sedikit kelebihan kepada BN-PN, pertarungan dalam PRN Negeri Sembilan ketika ini masih terbuka.
“PH masih mempunyai ruang untuk mengubah keadaan sekiranya berjaya memperkemaskan strategi kempen dan memberi fokus kepada isu yang benar-benar dekat dengan hati rakyat.
“Tempoh berbaki sebelum hari pengundian akan menjadi penentu sama ada kelebihan awal itu dapat dikekalkan atau berubah mengikut perkembangan kempen,” katanya.
Seperkara yang turut menarik perhatian pada PRN Negeri Sembilan kali ini juga adalah penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan logo sendiri serta terpisah dengan PN.
Ada yang berpendapat kehadiran Bersatu mampu mengganggu strategi kerjasama BN-PN, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Namun, berdasarkan pemerhatian awalnya, Hussain Yusri menilai kesan itu mungkin tidak begitu besar seperti yang dijangkakan.
Ini kerana, menurut beliau, sokongan pengundi Melayu pada kali ini lebih banyak tertumpu kepada kekuatan gabungan BN-PN berbanding kepada sesebuah parti secara individu.
“Sekiranya jentera BN dan PN dapat bergerak secara tersusun dan penyokong kedua-dua parti benar-benar memindahkan undi kepada calon yang dipersetujui bersama, ruang untuk Bersatu memecahkan undi Melayu menjadi lebih terhad,” katanya.
Begitupun, beliau tidak menafikan Bersatu masih mempunyai peluang memberi kesan di beberapa kerusi tertentu yang mempunyai pengaruh pemimpin tempatan atau calon yang dikenali.
Dalam keadaan pertandingan yang sengit, walaupun hanya berlaku peralihan beberapa peratus undi, ia tetap boleh mempengaruhi keputusan kerusi marginal iaitu kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil dalam pilihan raya sebelum ini. – MalaysiaGazette
















