Datuk Fuziah Salleh

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mahu menjadikan negeri itu Pusat Koridor Pembangunan Harapan Malaysia bagi mewujudkan pusat pertumbuhan baharu yang menghubungkan teknologi, logistik, industri dan modal insan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, gagasan itu digariskan menerusi manifesto ‘Kekal Harapan Negeri Sembilan’ yang dibentangkan semalam sekali gus menolak persepsi bahawa negeri itu sekadar menjadi kawasan penghubung antara Kuala Lumpur dan Melaka.

Menurutnya, konsep berkenaan dirangka bagi meletakkan Negeri Sembilan sebagai hab pertumbuhan ekonomi strategik yang mampu menarik pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Secara ideal, konsep itu akan membina kefahaman bahawa Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang berada di antara Kuala Lumpur dan Melaka tetapi sebuah pusat pertumbuhan baharu yang menghubungkan teknologi, logistik, industri dan modal insan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perancangan berkenaan, kata Fuziah, turut disokong projek berimpak tinggi termasuk Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0, NS Semiconductor Valley dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City.

Fuziah turut berkata, agenda tersebut selari dengan hasrat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk mencipta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi supaya golongan muda tidak perlu berhijrah ke negeri lain bagi mendapatkan peluang kerjaya.

Dalam pada itu, PH memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai manifesto ‘Kekal Harapan Negeri Sembilan’ termasuk rekod kejayaan pentadbiran PH sejak 2018 menerusi kod QR yang disediakan.

Sementara itu, Fuziah berkata, Bilik Gerakan Utama PH masih menerima laporan berhubung perbuatan khianat terhadap bahan kempen di beberapa lokasi termasuk Labu, Sungai Lui dan Palong.

PH berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat meningkatkan pemantauan, selain memaklumkan semua aduan yang diterima akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, Fuziah menyeru semua penyokong dan jentera parti supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau turut menzahirkan rasa prihatin dan simpati terhadap insiden keselamatan jalan raya yang mengorbankan seorang petugas jentera pilihan raya selain meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan polis.

“Biarpun mangsa tersebut bukan daripada jentera PH, kami tetap ingin mengingatkan para petugas untuk sentiasa mengambil langkah keselamatan tambahan bagi menghindari sebarang kecelakaan ketika menjalankan tugas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast