KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati kerana menganggu adik perempuan suspek, dua individu bertindak memukul seorang lelaki hingga parah dalam kejadian di Flat Sri Pulau Pinang Cheras, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden pergaduhan itu pada jam 3.33 pagi .
“Siasatan awal mendapati, motif kejadian dipercayai berpunca kerana rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa telah mengganggu adik perempuannya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian hidung, mata dan kepala sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya bertindak hasil atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes itu.
Kedua-dua suspek berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan pada jam 5.22 pagi pada hari sama bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Kesemua suspek telah direman tiga hari bermula 18 hingga 20 Julai dan kertas siasatan kini sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan lanjut,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















