Menteri Besar Negeri Sembilan yang calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap ketika ditemubual semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Tanjung Agas, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 21 JUALI 2026.

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan kempen berasaskan perkauman dan menjurus kepada kebencian tidak mempunyai ruang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Linggi berkata, sejak sekian lama, masyarakat pelbagai kaum di Negeri Sembilan hidup dalam keadaan penuh harmoni.

Malah, jelas beliau, sehingga kini juga tidak ada anasir-anasir yang dilihat dapat meruntuhkan persefahaman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Negeri Sembilan.

“Kita sedia maklum bahawa negeri ini mempunyai masyarakat yang amat baik daripada segi persefahaman, menghormati masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama.

“Kita juga tidak nampak ada perkara-perkara sensitif yang berlaku dalam tempoh kebelakangan ini yang boleh menyebabkan perpecahan.

“Penduduk di negeri ini hidup dalam keadaan rukun dan damai, jadi saya tak nampak politik berasaskan perkauman dan kebencian ini boleh dijadikan tunggangan untuk mencapai matlamat mana-mana parti pada PRN Negeri Sembilan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Aminuddin ditanya berkenaan tindakan pihak tertentu yang membawa naratif berasaskan perkauman dan kebencian sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan yang memasuki hari keempat hari ini.

Naratif itu antara lain cuba menonjolkan penguasaan parti politik berasaskan Melayu dan Islam dengan menjadikan DAP sebagai sasaran kemarahan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, PH sepanjang PRN Negeri Sembilan ketika ini memilih untuk mengetengahkan apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat negeri itu menerusi manifesto yang dilancarkan malam tadi.

Menurut beliau, setiap calon PH yang bertanding serta jentera kempen akan menerangkan manifesto itu supaya seluruh rakyat Negeri Sembilan dapat mengetahui apa yang akan dilaksanakan buat negeri ini sekiraya PH sekali lagi diberikan mandat mentadbir kerajaan negeri.

“Kita tak nak berjanji, kita nak laksanakan, kerana kita sudah ada bukti.

“Tempoh lapan tahun lalu sebagai kerajaan negeri juga adalah tempoh di mana kita melaksanakan setiap manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast