Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni seorang pengundi ketika berkempen rumah ke rumah di Taman Pinang Gading, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyifatkan pertemuannya bersama Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai simbolik penyerahan amanah untuk meneruskan kepimpinan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berpeluang menunaikan solat Subuh dan bersarapan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan itu sebelum turun bertemu pengundi.

Menurutnya, pertemuan itu memberi suntikan semangat untuk meneruskan legasi pentadbiran yang telah dibina Aminuddin sepanjang mewakili Sikamat sejak empat penggal lalu.

“Alhamdulillah, pagi tadi saya berkesempatan bersama Datuk Seri Aminuddin Harun. Kami solat Subuh dan bersarapan bersama.

“Ia menjadi satu simbolik penyerahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat kepada saya untuk meneruskan amanah beliau.

“Saya amat berbesar hati dengan kehadiran beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas berkempen rumah ke rumah di Taman Pinang Gading, di sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni seorang pengundi ketika berkempen rumah ke rumah di Taman Pinang Gading, Seremban, hari ini.

Nor Azman berkata, Aminuddin turut menitipkan pesanan supaya beliau menjaga kebajikan rakyat Sikamat sebaik mungkin sekiranya diberi mandat.

“Amanah itu akan dijadikan pegangan sepanjang tempoh berkempen dan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang memasuki hari keempat, beliau berkata, sambutan pengundi adalah positif selepas beliau mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah.

“Maklum balas yang diterima sangat positif dan saya berharap ia diterjemahkan dalam bentuk sokongan di peti undi nanti.

“Pendekatan turun padang dari rumah ke rumah memberi peluang kepada saya untuk mendengar sendiri pandangan dan keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, penerimaan baik itu memberikan keyakinan kepada jentera PH untuk terus memperhebatkan kempen sehingga hari pengundian.

“Semua penyokong supaya tidak terlalu selesa dan terus bekerja keras bagi memastikan sokongan diterjemahkan kepada undi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast