Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Persiaran Awana, Cheras, semalam. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang memandu kereta tanpa lesen ditahan selepas merempuh tiga kenderaan dan sebuah rumah di Jalan Persiaran Awana, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku apabila lelaki berusia 41 tahun yang memandu Proton Preve telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Perodua Myvi.

“Akibat pelanggatan itu, Perodua Myvi tertolak ke hadapan lalu merempuh bahagian belakang sebuah Mazda CX-3 yang berada di hadapannya.

“Pada masa sama, Proton Preve dipandu lelaki berkenaan turut melanggar bahagian sisi kiri Mazda CX-3 sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara tiga kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Persiaran Awana, Cheras, semalam. Foto PDRM

Tambah beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan pokok berkenaan tumbang lalu menghempap tembok sebuah rumah berhampiran.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut .

“Namun pemeriksaan ke atas suspek menemui satu kartrij mengandungi cecair yang disyaki mengandungi dadah jenis MDMA,” jelasnya.

Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu dan telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Siasatan kemalangan dijalankan mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, manakala kes pemilikan dadah disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast