Calon Pakatan Harapan N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad bercakap kepada media selepas menyantuni penduduk sambil mengedarkan risalah manifesto kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Kampung Ujong Pasir, Sikamat, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Makan Malam Perpaduan di Sikamat hari ini mampu meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadap gabungan itu menjelang hari pengundian, 1 Ogos ini.

Beliau berkata, sepanjang kempen memasuki hari kelima, maklum balas yang diterima daripada pengundi menunjukkan mereka menghargai pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan Persekutuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurutnya, ramai penerima memaklumkan bantuan yang dikreditkan melalui MyKad memberi manfaat secara langsung dalam mengurangkan kos sara hidup.

“Apabila bertemu pengundi, mereka meluahkan rasa syukur kerana menerima STR dan SARA. Bantuan ini benar-benar dekat dengan hati rakyat kerana mereka boleh terus membeli barangan keperluan.

“Saya yakin kehadiran PMX malam ini akan memberi suntikan semangat kepada jentera dan melonjakkan lagi sokongan kepada Pakatan Harapan khususnya di DUN Sikamat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette ketika berkempen rumah ke rumah di Kampung Ujong Pasir hari ini.

Pengundi menerima risalah manifesto calon Pakatan Harapan N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Kampung Ujong Pasir, Sikamat, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

Terdahulu beliau memulakan hari kelima kempen dengan bersarapan bersama penduduk dan petugas di sebuah gerai berhampiran Balai Raya Desa Rhu sebelum mengadakan sesi walkabout di Kampung Ujong Pasir.

Beliau turut meneruskan kempen dengan mengunjungi rumah-rumah penduduk di sekitar Sikamat sebelum menghadiri program di Paroi Jaya pada sebelah petang.

“Sikamat mempunyai rekod sokongan yang konsisten kepada PH sejak 2008 dan beliau berharap keyakinan rakyat terhadap kerajaan dapat diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, pengalaman lebih sedekad sebagai imam dan pendakwah di sekitar Sikamat menjadi antara kekuatan kepada Nor Azman dalam mendekati masyarakat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon Pakatan Harapan N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni penduduk sambil mengedarkan risalah manifesto kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Kampung Ujong Pasir, Sikamat, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

Beliau berkata, pengalaman berkhidmat sebagai imam di Masjid Jamek Datuk Kelana Petra Lela antara 2004 hingga 2011 menjadikan dirinya cukup dikenali oleh penduduk setempat.

“Ramai mengenali saya kerana pernah menjadi imam solat, menguruskan solat jenazah ahli keluarga mereka atau menikahkan anak-anak mereka.

“Saya juga sering mengisi kuliah agama di surau dan masjid sekitar Sikamat. Sebab itu ramai mengenali saya sebagai guru,” katanya.

Menurut Nor Azman, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, beliau mahu meneruskan pendekatan mesra rakyat dengan sentiasa berada bersama masyarakat ketika diperlukan.

“Selain memberi perhatian kepada kebajikan, saya juga mahu memperkukuh program pendidikan, pembangunan insan serta aktiviti untuk warga emas dan golongan belia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast