KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dijangka menggerakkan kira-kira 200 pegawai dan anggota bagi membantu memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dalam suasana yang selamat dan terkawal.
Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, persiapan menghadapi PRN Negeri Sembilan turut melibatkan kerjasama semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bukan tertumpu kepada JKDNKA semata-mata.
Menurut beliau, pendekatan sama turut dilaksanakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini yang menyaksikan JKDNKA menyalurkan bantuan kira-kira 850 pegawai dan anggota.
“Bagi PRN Negeri Sembilan, kita menjangkakan bantuan sumber manusia sekitar 200 pegawai dan anggota. Jumlah ini lebih kecil berbanding Johor kerana Johor mempunyai lebih banyak kawasan Dewan Undangan Negeri, manakala Negeri Sembilan lebih kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA Tahun 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan AM (PGA) di sini hari ini.
Mohd Yusri berkata, semua pegawai JKDNKA telah diarahkan supaya melaksanakan latihan dalam perkhidmatan serta bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada anggota yang akan bertugas di lapangan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan perjalanan PRN Negeri Sembilan berlangsung dengan baik, lancar dan sempurna.
“Kita mahu orang ramai bebas keluar mengundi tanpa rasa takut, bimbang atau curiga terhadap tahap keselamatan mereka.
“Mereka harus dapat mengundi dalam suasana yang selamat dan bebas serta menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Negeri Sembilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















