SENALING – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan peringatan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anggota pentadbiran kerajaan sebelum ini bukan bertujuan mengugut mana-mana pihak.
Sebaliknya bagi memastikan disiplin dan profesionalisme terus dipelihara ketika musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, peringatan itu terpakai kepada semua anggota pentadbiran termasuk menteri, timbalan menteri serta mereka yang mengetuai agensi kerajaan.
“Apa yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah sebagai peringatan kepada semua anggota Jemaah Menteri supaya kekalkan disiplin dan terus bersikap profesional walaupun sedang berkempen serta tidak melanggar tata etika dan disiplin yang telah ditetapkan.
“Ia terpakai bukan hanya kepada menteri dan timbalan menteri, malah juga mereka yang mengepalai atau menjadi pengerusi serta ketua mana-mana agensi kerajaan.
“Jadi ia adalah peringatan yang tegas supaya semua menjaga disiplin dan dekorum,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di DUN Senaling bagi calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Hanis Mohd Alimim petang ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar Anwar supaya memecat sahaja beliau dan semua menteri serta timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak berpuas hati dengan mereka.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata hubungan dalam kalangan pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan kekal baik dan sebarang perkara boleh dibincangkan secara matang.
“Hari ini mesyuarat Jemaah Menteri berjalan dengan sangat baik. Tidak ada apa-apa isu yang tidak boleh dibincangkan.
“Malah selesai mesyuarat Jemaah Menteri, kami semua duduk makan tengah hari semeja. Jadi kita lihat hubungan di peringkat pucuk pimpinan adalah sangat baik,” ujarnya.
Menurut beliau, semua pemimpin di peringkat akar umbi dan pertengahan juga perlu memahami keutamaan kerajaan ketika ini ialah memastikan kestabilan politik dan mengukuhkan ekonomi negara.
“Fokus kerajaan Persekutuan pada waktu ini adalah untuk mengemudi negara ketika ekonomi dunia sedang bergolak akibat konflik di Asia Barat.
“Kita tahu keadaan di Asia Barat kembali bergolak. Sebab itu fokus pimpinan di peringkat tertinggi adalah memastikan politik negara kekal stabil supaya ekonomi dapat terus dibangunkan,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette
















