Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PAROI – Kerajaan akan menaikkan lagi kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2027 untuk membantu rakyat berdepan kos sara hidup yang masih tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyedari bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA yang disalurkan sebelum ini masih belum menyelesaikan sepenuhnya tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua, dan kita gabung (samakan) dengan Negeri Sembilan,” katanya di pentas ceramah jelajah ‘Kekal Harapan’ Negeri Sembilan, malam tadi.

Hadir sama adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini di Ipoh berkata kerajaan akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) jika keadaan ekonomi negara mengizinkan.

Anwar berkata perkara itu telah dibincangkan bersama dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan.

Dalam ceramah itu, Anwar berkata pelaksanaan itu adalah untuk menyamai apa yang dilakukan Aminuddin di Negeri Sembilan sebelum ini.

Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) akan mengagihkan pemberian sumbangan tunai kepada golongan fakir dan miskin di seluruh daerah di Negeri Sembilan.

Bantuan itu diterima 4,524 orang fakir dan miskin akan menerima manfaat daripada Bantuan Khas Kewangan (BKK) ini dengan nilai sebanyak RM300 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

“Walaupun kita bagi STR, SARA, Aminuddin bagi, bonus tinggi, tapi selesai masalah? Belum. Kita masih fikir.

“Sebab itu bila saya bincang dua minggu lalu, sebulan yang lalu, dan saya umum di Perak, saya kata kerana masalah yang rakyat masih hadapi, kita dengar!

“Saya umum minggu lalu, insya-Allah dalam beberapa masa terdekat, kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua,” kata Anwar lagi. 

Menurut Anwar, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira keluhan rakyat mengenai peningkatan harga barangan dan kos kehidupan yang masih dirasai, walaupun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, beliau sendiri mengambil kesempatan bertemu rakyat secara langsung termasuk mengunjungi warung dan gerai pada setiap Jumaat sebelum menunaikan solat Jumaat bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.

“Saya tiap-tiap Jumaat sebelum solat Jumaat, pergi makan di warung. Dengar, lihat, tengok apa orang makan, tengok rakyat di sekeliling.

“Memang ramai yang buat begitu dekat pilihan raya. Di musim pilihan raya semua pergi kedai. Tapi saya tidak. Saya sudah tiga tahun, tiap-tiap Jumaat sebelum solat Jumaat, saya pergi makan di warung,” katanya.

Anwar berkata, hasil pertemuan dengan rakyat, beliau mendapati isu harga barangan termasuk sayur-sayuran dan keperluan harian masih menjadi antara perkara yang membebankan rakyat.

“Bila kita tanya, ‘Harga berapa?’ Mereka kata bawang mahal sedikit, sayur pun mahal. Maka kita tambah Tunai Rahmah. Tak cukup.

“Sebab itu kita dengar dan kita tambah lagi bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan tidak menafikan masih terdapat cabaran berkaitan kos sara hidup walaupun Malaysia kini berada dalam keadaan ekonomi yang semakin baik.

“Kos sara hidup masih tinggi, ya. Sebab itu saya umum, walaupun kita bagi STR, SARA, tetapi selesai masalah? Belum,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat supaya menilai usaha kerajaan berdasarkan rekod dan tindakan yang telah dilaksanakan, termasuk langkah membantu rakyat yang terkesan dengan tekanan ekonomi.

Anwar berkata, kestabilan politik dan ekonomi perlu dipertahankan kerana ketidakstabilan boleh menjejaskan keyakinan pelabur, sekali gus memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.

“Bila politik tidak stabil, pelabur tidak datang. Yang sengsara rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.

“Kita mahu Amin di Negeri Sembilan kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Untuk kerja!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast