LABU – Seawal jam 8 pagi, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula hadir ke Balai Polis Labu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Rata-rata anggota yang ditemui MalaysiaGazette berkata, mereka membuat persiapan sejak awal pagi bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar sebelum kembali menjalankan tugas menjaga keselamatan sepanjang pilihan raya.
Ketua Balai Polis Labu, Sarjan Mejar Mohd Anif Abdul Jalil, 37, berkata, beliau bangun seawal 6.30 pagi sebelum bersiap untuk hadir ke pusat pengundian bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.
“Saya datang awal pagi untuk memudahkan perjalanan dan petugas-petugas lain. Saya nasihatkan kepada semua yang belum mengundi supaya datang awal bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar,” katanya sambil memberitahu akan kembali menjalankan tugas seperti biasa selepas mengundi.

Sementara itu, seorang lagi anggota polis, Lans Koperal Kamal Ihsan Abdul Ghani, 27, berkata, dia bangga kerana berpeluang melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pertama pengundian awal.
“Saya rasa bangga kerana sudah menjalankan tanggungjawab untuk mengundi. Ini kali kedua saya mengundi,” katanya yang ditemui MalaysiaGazette di sini.

Manakala, Masita Majnor, 27, pula berkata, dia bangun seawal waktu Subuh untuk membuat persiapan sebelum datang ke Balai Polis Labu.
Katanya, persiapan dilakukan lebih awal memandangkan beliau mempunyai anak kecil sebelum meneruskan tugas selepas selesai mengundi.
“Subuh saya dah bangun, siapkan semuanya sebab ada anak kecil. Dah siap terus datang sini dan selepas ini sambung balik tugas,” katanya.

Calon Barisan Nasional bagi DUN ini, Siti Nur Umairah Hasim turut berada di sini pada jam 9.15 pagi bagi menyaksikan proses pengundian awal.
Beliau berkata, proses pengundian awal hari ini berjalan lancar dan berharap proses berkenaan terus berlangsung tanpa sebarang masalah.
“Alhamdulillah, hari ini nampaknya semua berjalan lancar. Tinggal beberapa peringkat lagi untuk pengundian awal ini dan saya harap semuanya berjalan dengan lancar.
“Saya berpuas hati dengan perjalanan hari ini. Untuk minggu kedua kempen pula, kita semakin rancak bertemu dengan pengundi dan masih banyak lagi pengundi yang perlu kita santuni,” katanya.
Sejumlah 15 pengundi awal direkodkan di Balai Polis Labu dengan pusat penamaan ini akan ditutup jam 12 tengahari.
Untuk rekod, sejumlah 22,339 anggota keselamatan dan pasangan mereka akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















