Bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir di sidang media selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, Seremban. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2026.

SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak berasa kecewa dengan kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, sebaliknya menerima keputusan yang dibuat pengundi itu dengan hati terbuka.

Menurutnya, beliau sudah membentangkan rekod kemajuan kepada rakyat sepanjang mentadbir negeri ini untuk dinilai, namun mungkin ia tidak memadai bagi mengekalkan sokongan rakyat terhadap pentadbirannya.

Bagaimanapun, beliau tetap berbangga kerana meskipun tewas, namun masih dapat mendidik sebahagian besar masyarakat daripada hanya menilai berdasarkan perkauman kepada mementingkan prestasi sesebuah parti atau kerajaan negeri.

“Tak ada masalah bagi saya, biasalah dalam politik ada masanya menang dan ada masanya kalah.

“Tetapi bagi saya, saya mampu kali ini mendidik sebahagian besar masyarakat untuk bertukar fikiran daripada hanya mementingkan perkauman sahaja kepada prestasi, kerana inilah apa yang kita mahukan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata dekimian dalam sidang akbar di Bilik Gerakan PH sempena PRN Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, di sini malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi DUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dengan majoriti 2,000 undi.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau tidak menyesal berpindah dari DUN Sikamat yang disandangnya sejak 2008 ke DUN Linggi yang menyaksikan beliau tewas kali ini.

Menurutnya, beliau juga berkemugkinan tewas sekiranya memilih kekal di DUN Sikamat melihat kepada sentimen perkauman yang dimainkan sepanjang PRN Negeri Sembilan ke-16.

“Kalau dengan isu sebegini saya bertanding di mana-mana pun saya akan kalah, waima di DUN Chuah sekalipun mungkin akan kalah,” katanya.

Sementara itu, Amiruddin berkata, beliau berharap kerajaan Negeri Sembilan baharu kelak akan meneruskan segala dasar dan polisi baik yang diperkenalkan pentadbiran beliau sejak 2018.

“Teruskan dan buat yang terbaik. Jaga negeri, jaga anak bangsa kita dan pastikan lebih baik daripada yang saya bagi (ketika mentadbir), itulah yang saya harapkan daripada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast