Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Kertas cadangan pelan tindakan segera berhubung kerja-kerja pengurusan pokok-pokok berisiko di seluruh negeri akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi berkaitan bagi tujuan mengenalpasti pokok-pokok berisiko di seluruh negeri yang memerlukan tindakan lanjut.

Hasil dapatan dalam pertemuan itu akan dibentangkan dalam MMK kelak sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

“Saya telah mengadakan mesyuarat bersama pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perhutanan Negeri dan agensi-agensi terbabit tentang kejadian yang berlaku di Janda Baik iaitu pokok tumbang baru-baru ini.

“Hasil dapatan tersebut perlu saya bentangkan ke Mesyuarat Exco atau MMK untuk mendapatkan suatu keputusan dan kebenaran daripada kerajaan negeri dan untuk kerajaan negeri melaksanakan dasar-dasar yang sesuai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, pandangan pihak yang arif mengenai pengurusan pokok kelak akan menentukan pengurusan pokok-pokok yang tua, sama ada perlu ditebang atau sebaliknya.

Beliau berkata, pengumuman rasmi dasar-dasar yang ditetapkan berhubung langkah penyelesaian isu terbabit akan diberitahu selepas mendapat persetujuan kerajaan negeri kelak.

“Kita tak ambil mudah tapi kita akan mengambil tindakan seperti yang disarankan Menteri Besar dengan komprehensif untuk menangani isu tersebut.

“Kita juga telah peroleh dapatan mengenai status pokok-pokok berisiko ni dari seluruh daerah dan akan melakukan pemantauan dari masa ke masa,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 6 ogos lepas berkata, kerajaan negeri telah menggerakkan tindakan segera bagi mengenal pasti pokok-pokok yang berisiko tinggi di seluruh negeri.

Ia susulan tragedi menyayat hati membabitkan empat sekeluarga meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Janda Baik, Bentong baru-baru ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan Pahang tidak akan berdiam diri isu pokok tumbang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast