SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa slogan penyatuan Melayu dan ummah digunakan oleh pihak tertentu bertujuan sebagai modal politik untuk meraih kuasa, sedangkan golongan berkenaan didakwanya mempunyai kaitan dengan kemerosotan institusi Melayu serta skandal kewangan negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, Selangor tidak seharusnya memberi ruang kepada politik yang berasaskan kebencian, ketakutan dan perkauman sempit.
“Selangor mesti memimpin politik nilai, prinsip dan politik yang bermaruah, politik governance yang tinggi.
“Dalam keadaan negeri lain banyak bercakap soal kaum, Selangor banyak bertindak dan memimpin untuk masa depan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Menurut Azmin, politik identiti dan perkauman sempit tidak wajar dijadikan asas perjuangan kerana pendekatan itu hanya akan memecahbelahkan masyarakat.
Beliau turut menyifatkan perkembangan politik di Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang membimbangkan apabila terdapat pihak menggunakan kebencian kaum dan budaya ketakutan semata-mata untuk mendapatkan kuasa.
“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan, bukan lagi soal dasar, bukan lagi soal prinsip tetapi ada pihak yang harbour hatred and racial bigotry (menyimpan kebencian dan prasangka perkauman) semata-mata ingin mendapat kuasa.
“Culture of fear (Budaya ketakutan) menjadi asas perjuangan mereka,” katanya.
Azmin turut mendakwa, terdapat kelompok yang melaungkan slogan penyatuan Melayu dan ketuanan Melayu, namun pada masa sama didakwanya pernah terpalit dengan isu yang menjejaskan institusi serta kepentingan Melayu.
“Demi penyatuan Melayu dan ummah, sokong aku. Jangan sokong mereka.
“Kumpulan yang melaungkan penyatuan Melayu, ketuanan Melayu; kumpulan ini juga yang meruntuhkan institusi Melayu, membankrapkan Felda, merampok simpanan pendeposit Tabung Haji, LTAT dan terpalit dengan skandal kewangan 1MDB,” katanya.
Beliau kemudian mendakwa keadaan politik menjadi lebih serius apabila wujud kumpulan yang menurutnya cuba menghalalkan kleptokrasi serta membenarkan salah laku atas alasan tertentu.
“Keadaan politik bertambah gila apabila ada pula kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baharu. Ini adalah proses memperbodohkan rakyat,” katanya.
Mohamed Azmin turut mempersoalkan naratif penyatuan Melayu yang menurutnya gagal mencapai matlamat sekiranya akhirnya masyarakat Melayu sendiri terus berpecah.
“Atas nama penyatuan Melayu kononnya, Melayu kini berpecah. Apabila Melayu berpecah, mereka salahkan kaum lain untuk menutup kepalsuan sendiri,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor supaya tidak tunduk kepada tekanan politik berasaskan perkauman dan identiti.
“Wahai YAB Dato’ Menteri Besar. Jangan gundah gulana. Jangan benarkan fahaman ini bertapak di Selangor. Teruskan langkahmu untuk membangun negeri Selangor. Anda tidak berseorangan. I am always here for Selangor!” kata Azmin.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya prestasi ekonomi Selangor terus diperkukuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri memberi manfaat secara lebih menyeluruh kepada rakyat.
“Saya mahu KDNK Selangor kekal tinggi untuk memastikan limpahan ekonomi ini dimanfaatkan oleh rakyat Selangor sama ada di Tanjong Karang atau Kuala Selangor atau Kuala Langat.
“Jangan berlegar di Petaling Jaya dan Subang sahaja,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi kerajaan yang tepat dan berkesan bagi memastikan rakyat memahami dasar serta pencapaian Kerajaan Negeri melalui peningkatan keupayaan Unit Media Kerajaan Negeri.
“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita membina Selangor yang maju dan makmur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















