Tangkap layar daripada rakaman video yang dikeluarkan pada 9 Ogos 2026 oleh Pusat Media Ansarullah menunjukkan sebuah peluru berpandu dilancarkan ke arah apa yang didakwa pihak berkuasa Houthi sebagai lokasi penempatan tentera Arab Saudi dan depoh senjata di pelabuhan Mokha, barat Yaman. foto AFP

 

DUBAI – Serangan ke atas sebuah kapal kargo mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang berhampiran Selat Bab al-Mandeb, di luar pantai selatan Yaman, menurut syarikat keselamatan maritim Britain, Vanguard, pada hari Selasa.

Dalam insiden terbaharu di laluan perairan yang menjadi pertikaian itu, syarikat berkenaan berkata, dua anak kapal, masing-masing warga Pakistan dan Indonesia terbunuh.

“Empat lagi anak kapal, terdiri daripada tiga warga Pakistan dan seorang warga Indonesia pula cedera.

“Pasukan Tentera Laut Yaman kemudiannya dikerahkan untuk membantu kapal berkenaan sebelum ditembak, menyebabkan seorang lagi mangsa terkorban,” katanya.

Sebelum itu, sumber pengawal pantai Yaman di Mokha berkata, kapal yang berada berhampiran selat di pintu masuk Laut Merah itu diserang pemberontak Houthi yang disokong Iran, menyebabkan tiga anak kapal terbunuh.

“Kami berjaya menyelamatkan anak kapal yang lain,” katanya.

Satu lagi sumber mengesahkan kejadian itu dan berkata kapal berkenaan turut terkena peluru kedua ketika operasi menyelamat dijalankan, namun tidak memberikan jumlah mangsa.

Terdahulu, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) memaklumkan sebuah kapal kargo terkena peluru berhampiran Selat Bab al-Mandeb, di luar pantai selatan Yaman, menyebabkan jumlah mangsa yang tidak dinyatakan, tanpa memberikan butiran lanjut.

Insiden itu berlaku selepas gencatan senjata yang bertahan selama beberapa tahun dalam perang saudara Yaman antara Houthi dan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta diiktiraf masyarakat antarabangsa runtuh bulan lalu susulan tercetusnya semula pertempuran antara Iran dan Amerika Syarikat.

Keruntuhan perjanjian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 itu berlaku selepas Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, termasuk menyerang kapal tangki minyak Saudi di Laut Merah dan infrastruktur minyak negara itu, selari dengan sekatan Iran terhadap Selat Hormuz. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast