Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ramli Mohd Nor menegaskan, kebebasan bersuara di Parlimen tidak boleh digunakan sehingga menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Beliau berkata, tindakan menggunakan peruntukan Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) terhadap Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Dewan Rakyat semalam, dibuat bagi memastikan perjalanan persidangan berlangsung dalam suasana tertib, berhemah dan menghormati prinsip keharmonian masyarakat majmuk.

Katanya, tindakan itu berkaitan penggunaan perkataan yang boleh membangkitkan perasaan sakit hati atau permusuhan antara sesuatu kaum dengan kaum lain di Malaysia.

“Sebagai Pengerusi Mesyuarat, saya bertanggungjawab memastikan setiap Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat dan menjaga tutur kata ketika berbahas.

“Kebebasan bersuara di dalam Dewan sememangnya merupakan asas penting dalam demokrasi, namun kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan tidak melampaui batas sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tindakan itu menyusul selepas persidangan Dewan Rakyat semalam bertukar tegang akibat provokasi dan perdebatan hangat yang menyaksikan penggunaan perkataan didakwa boleh membangkitkan perasaan sakit hati serta permusuhan antara kaum.

Susulan insiden berkenaan, Ramli menguatkuasakan Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) berhubung larangan mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Mohd Sany Hamzan

“Saya ingin mengingatkan Pengerusi Mesyuarat mempunyai kuasa mengarahkan mana-mana Ahli Dewan keluar dari persidangan bagi tempoh tertentu sekiranya melanggar peraturan.

“Malah, jika pelanggaran itu serius, tindakan lebih ketat boleh diambil mengikut Peraturan Mesyuarat 44, termasuk penggantungan daripada persidangan selama 10 hari atau sehingga enam bulan,” ujarnya.

Ramli memberitahu, beliau akan sentiasa mengutamakan pendekatan memberi nasihat, teguran dan kesedaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan tatatertib yang lebih keras.

“Namun apabila batas peraturan, kesopanan, kemanusiaan dan melampaui kesabaran, saya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa yang diperuntukkan demi menjaga kewibawaan serta keluhuran Dewan.

“Peraturan mesti dihormati, Dewan mesti dimartabatkan, kebebasan bersuara mesti dipertanggungjawabkan dan keharmonian rakyat mesti dipelihara,” katanya lagi.

Sementara itu, Ramli turut mengingatkan Dewan Rakyat adalah institusi yang mewakili seluruh rakyat Malaysia dan setiap ucapan yang dikeluarkan perlu mencerminkan kematangan demokrasi serta rasa tanggungjawab terhadap keamanan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here