Keadaan lori yang terbalik akibat kegagalan akibat brek di Pantai Hillpark hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah lori sampah dipercayai mengalami kegagalan sistem brek, terbabas dan menghempap tiga kereta yang diparkir di kawasan Kondominium Pantai Hillpark di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi di Jalan Pantai Murni 1 itu menyebabkan pemandu lori berusia 41 tahun cedera pada kaki kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit sedang bergerak di jalan lurus menuruni bukit sebelum dipercayai mengalami masalah brek.

“Pemandu yang hilang kawalan telah melanggar tembok pagar kondominium sebelum bahagian hadapan lori terjatuh dan menghempap tiga buah kereta kosong tanpa pemandu yang diparkir di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zamzuri, dua pekerja lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 25 tahun yang sedang melakukan kerja mengutip sampah bersama lori berkenaan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan tidak berada di lokasi ketika polis tiba menyebabkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) menjalankan usaha mengesannya.

“Lelaki itu berjaya dikesan ketika sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

“Pemandu berkenaan kemudian hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.15 petang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian,” ujarnya.

Mohd Zamzuri berkata, ujian hembusan nafas yang dijalankan terhadap lelaki berkenaan mendapati dia negatif alkohol.

Lori sampah terbabit akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom bagi menjalani pemeriksaan lanjut untuk menentukan punca sebenar kemalangan termasuk dakwaan kegagalan sistem brek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here