Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menggesa semua pihak mengelakkan tuduhan melulu susulan perbahasan khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, kelmarin.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, semua pihak juga digesa mengelakkan penghakiman politik dalam isu itu sebelum proses perundangan selesai.

Dalam masa sama, ujarnya, BN turut menggesa semua pihak mengelakkan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit TH tanpa asas yang bertanggungjawab.

Jelas beliau, BN berpandangan bahawa sidang khas Parlimen itu telah membuka ruang yang luas untuk penelitian awam terhadap laporan RCI TH.

“Ketelusan telah dilaksanakan. Perbahasan telah berlangsung. Transformasi sedang berjalan.

“Maka, fokus selepas ini bukan lagi untuk menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang cuba menyembunyikan sesuatu, tetapi untuk memastikan tadbir urus Tabung Haji terus diperkukuh; syor-syor penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya dan keyakinan pendeposit serta umat Islam terhadap institusi Tabung Haji terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zambry berkata, pendirian BN berhubung RCI TH itu adalah jelas dan konsisten iaitu tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit.

Tambahnya, hakikat bahawa laporan RCI telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka dan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuktikan bahawa proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.

Ujarnya, perbahasan turut mengesahkan bahawa RCI itu memfokuskan pada tempoh 2014 hingga 2020.

“Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini,” katanya.

Tambah beliau, dapatan RCI TH menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang.

Ujarnya, perkara-perkara ini perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh institusi TH, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek.

“BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten,” katanya.

Kata beliau, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal telah menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas.

Malah, ujarnya, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh.

Tegas beliau, ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu TH.

“Kepentingan pendeposit mesti mengatasi kepentingan politik Tabung Haji bukan sekadar entiti kewangan.

“la adalah institusi umat Islam yang mempunyai amanah besar dalam pengurusan simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast