ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mendakwa Washington mempunyai kuasa mutlak ke atas Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa tentera AS mungkin mengekalkan kehadiran mereka di laluan air strategik itu, lapor Anadolu Ajansi.
“AS mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz. Saya fikir kita akan mengekalkannya,” tulis Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social.
Beliau menyifatkan sekatan tentera laut yang sedang dilaksanakan sebagai “tembok keluli”.
“Tiada apa yang boleh dilakukan Iran mengenainya.”
Setakat Rabu, tentera AS telah melencongkan 59 kapal dagang, melumpuhkan tiga dan menaiki dua kapal “bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap sekatan itu,” menurut Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM).
Menurut Trump, keupayaan ketenteraan Iran telah dilumpuhkan.
Asia Barat kekal tegang sejak perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada akhir Februari lepas. Tehran dan Washington masih belum mencapai persetujuan muktamad untuk menamatkan konfrontasi itu, manakala penutupan Selat Hormuz terus menjejaskan rantaian bekalan tenaga global.
AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun dan memulakan rundingan ke arah mencapai persetujuan muktamad.
Bagaimanapun, rundingan itu kemudiannya tergendala berikutan perselisihan mengenai jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz, antara laluan paling strategik di dunia bagi bekalan tenaga dan perdagangan global. – BERNAMA-ANADOLU
















