Sekretariat Musyawarah Nasional

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani digesa tidak lagi melengahkan pelaksanaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian bagi memastikan agenda memperkukuh penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

Sekretariat Musyawarah Nasional berkata, pelaksanaan UPB perlu disegerakan sepenuhnya selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025 berkaitan penubuhan, terma rujukan dan struktur UPB di kementerian.

Menurutnya, penubuhan UPB bukan perkara baharu, sebaliknya merupakan tuntutan yang telah beberapa kali dibangkitkan sebelum diterima dan dijadikan sebahagian daripada kerangka rasmi kerajaan.

“Namun, dasar yang baik tidak membawa makna jika pelaksanaannya terus tertangguh.

“Kini tumpuan kerajaan mesti beralih sepenuhnya kepada pelaksanaan, pemantauan dan keberhasilan,” kata sekretariat itu menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sekretariat itu berkata, keperluan memperkukuh mekanisme khusus bagi menyelaras agenda Bumiputera di seluruh kementerian telah dibincangkan sejak Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 sebelum diterjemahkan melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

“PuTERA35 mengandungi 132 ikhtiar di bawah tiga teras dan 12 pemacu, dengan matlamat memperkukuh penyertaan, pemilikan serta penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara,” katanya.

Bagaimanapun, sekretariat itu berpandangan cabaran utama ketika ini bukan lagi sekadar merangka dasar, tetapi memastikan dasar berkenaan dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berkesan.

Malah, katanya, perkara itu turut menjadi antara penekanan dalam Konvensyen Musyawarah Nasional pada Mei lalu, khususnya menerusi Teras Ekonomi yang menegaskan bahawa pelbagai intervensi melalui KEB dan PuTERA35 masih berdepan cabaran dari segi penyelarasan dan pelaksanaan.

“Justeru, UPB mesti segera digerakkan sebagai jentera pelaksanaan yang benar-benar berfungsi dengan autoriti, sasaran, data dan akauntabiliti yang jelas,” katanya.

Sehubungan itu, Sekretariat Musyawarah Nasional mengemukakan empat tuntutan utama kepada kerajaan antaranya setiap kementerian perlu mengaktifkan sepenuhnya UPB dengan segera, lengkap dengan struktur, pegawai bertanggungjawab serta mandat pelaksanaan yang jelas.

“Setiap UPB perlu menyediakan pelan tindakan khusus kementerian berserta petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur berdasarkan bidang kuasa, tanggungjawab dan peluang ekonomi di bawah kementerian masing-masing.

“Status pelaksanaan perlu dilaporkan secara berkala kepada mekanisme pemantauan pusat PuTERA35 bagi membolehkan sebarang kelewatan, pertindihan atau kelemahan pelaksanaan dikenal pasti dan ditangani dengan segera.

“Satu scorecard pencapaian perlu diwujudkan supaya keberhasilan agenda pemerkasaan Bumiputera tidak lagi diukur berdasarkan jumlah mesyuarat, program atau peruntukan semata-mata,” katanya.

Sebaliknya, kata sekretariat itu, keberkesanan perlu dinilai berdasarkan peningkatan sebenar dalam penyertaan, pemilikan, pendapatan, skala perniagaan serta penguasaan Bumiputera dalam sektor-sektor strategik.

“Kerajaan sebenarnya sudah mempunyai struktur tadbir urus yang diperlukan bagi memastikan agenda tersebut dapat digerakkan secara sistematik,” katanya.

Selain itu, kerangka tadbir urus PuTERA35 telah menyediakan mekanisme pemantauan menerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Ekonomi Bumiputera, Jawatankuasa PEMANDU Majlis Ekonomi Bumiputera dan Majlis Ekonomi Bumiputera.

“Keseluruhan ekosistem yang diperlukan untuk menggerakkan agenda ini sebenarnya telah tersedia.

“Kini tanggungjawab terletak sepenuhnya pada kerajaan untuk memastikan keputusan ini diterjemahkan kepada tindakan. Tidak boleh ada lagi jurang antara dasar dengan pelaksanaan,” katanya.

Menurut Sekretariat Musyawarah Nasional, pemerkasaan Bumiputera perlu menjadi keutamaan nasional yang digerakkan secara tegas, dipantau secara berterusan dan dinilai berdasarkan hasil yang benar-benar dirasai masyarakat Bumiputera.

Ia menegaskan agenda berkenaan terlalu penting untuk dibiarkan bergerak perlahan atau sekadar menjadi slogan politik dan dasar.

Sebaliknya, ujarnya, ia perlu diterjemahkan kepada perubahan ekonomi yang boleh dilihat, diukur dan dirasakan rakyat, khususnya dalam aspek pemilikan aset, peningkatan pendapatan, pengembangan perniagaan dan penguasaan sektor ekonomi strategik. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast