Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2026.

MELAKA – Keutuhan Kerajaan Perpaduan kini sedang diuji oleh pihak yang mengamalkan politik ‘talam dua muka’ dan meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat serta negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan pihak tertentu yang didakwa berselingkuh secara terbuka berlaku ketika kepemimpinan negara sedang berusaha membina semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran negara.

“Keutuhan Kerajaan Perpaduan hari ini sedang diuji oleh mereka yang bersifat talam dua muka. Ada pihak yang berselingkuh tanpa segan silu di kala pimpinan sedang membina semula keyakinan rakyat dan dunia terhadap pentadbiran negara kita.

“Politik curang sebeginilah yang membantutkan agenda reformasi dan usaha untuk memperkukuh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK pada Persidangan Kongres KEADILAN 2026: Kongres AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini malam ini.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Datuk Dr Zaliha Mustafa; bekas Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim dan Datuk Seri Dr Samsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbi Muda.

Muhammad Kamil berkata, sikap pihak tertentu yang terlalu ghairah mengejar kepentingan politik sendiri sehingga mengatasi kepentingan rakyat dan negara tidak wajar dipandang ringan.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunjukkan jiwa besar dengan terus menjalankan tanggungjawab dan tampil di hadapan rakyat demi menjaga maruah perjuangan serta kestabilan negara.

“Tatkala dada kita dipasak sembilu dan ditikam bukan dari belakang, dari hadapan, Perdana Menteri kita masih berjiwa besar dan terus mengukir senyuman di hadapan rakyat demi menjaga maruah perjuangan dan kestabilan negara,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak mengutamakan percaturan politik sehingga mengganggu agenda reformasi dan kestabilan pentadbiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast