LIMA – Peru mengisytiharkan keadaan darurat di satu pertiga daripada bandar di negara itu, sambil memberi amaran cuaca panas terik dan hujan lebat yang dikaitkan dengan fenomena El Nino mungkin menyebabkan bekalan makanan tidak mencukupi.
Corak cuaca El Nino menyebabkan suhu permukaan laut meningkat di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa.
Fenomena ini mencetuskan perubahan global terhadap corak angin, tekanan atmosfera dan taburan hujan, selain menyumbang kepada peningkatan suhu dunia secara keseluruhan.
Di Peru, kerajaan kini bersiap menghadapi suhu yang lebih tinggi serta hujan yang lebih lebat daripada biasa.
Keadaan darurat akan berkuat kuasa di 607 daripada kira-kira 1,800 kawasan perbandaran di Peru bagi melindungi keselamatan bekalan makanan, menurut kenyataan Majlis Menteri-Menteri.
Kebanyakan kawasan yang terjejas terletak di pergunungan Andes atau wilayah Amazon.
Pengisytiharan tersebut bermakna pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mengambil tindakan bagi mengurangkan “risiko yang sangat tinggi terhadap penduduk, pertanian dan penternakan.”
Presiden Keiko Fujimori, yang baru 15 hari memegang jawatan, pada Isnin mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya khas bagi menangani kecemasan iklim yang bakal berlaku.
Pada 2023, fenomena El Nino menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang meragut 99 nyawa.
Lebih 9.3 juta penduduk Peru, iaitu lebih daripada satu perempat jumlah penduduk negara itu, berdepan risiko tinggi mengalami banjir dan tanah runtuh akibat El Nino, menurut agensi penilaian bencana negara, Cenepred. – Agensi
















