August Teh

KUANTAN – Pemuda MCA Kuantan gesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas, terhadap mana-mana kumpulan yang terlibat dalam kegiatan gangsterisme jika berlaku di bandar raya ini.

Ketua Pemuda MCA Kuantan, August Teh berkata, komuniti di Kuantan berhak hidup, bekerja dan menjalankan perniagaan dalam keadaan aman tanpa perlu takut kepada ancaman kumpulan-kumpulan ini.

“Jika benar berlaku peningkatan kes gangsterisme dan keganasan di sekitar Kuantan, perkara ini tidak boleh dipandang ringan atau dianggap sebagai sekadar kes terpencil.

“Kita tidak mahu Kuantan dikenali sebagai bandar di mana gangster berani mencabar undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bukan itu sahaja, kata August, rakyat di bandar itu berhak dimaklumkan sekiranya pihak berkuasa sedang mengambil langkah pencegahan ke atas kegiatan ini atau mengenalpasti kawasan panas yang terbabit.

Menurut beliau, tindakan segera perlu diambil pihak berkuasa bagi menangani aktiviti ini sebelum berlaku kecederaan serius atau lebih buruk kehilangan nyawa.

Beliau turut menyeru orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan perkara ktu kepada pihak berkuasa.

“Kuantan sedang berkembang sebagai sebuah bandar raya dan pusat ekonomi penting di Pahang. Kita mahu Kuantan dikenali kerana pembangunan, peluang ekonomi dan komuniti yang harmoni bukan kerana gangsterisme dan keganasan jalanan.

“Cukup sudah. Jangan beri ruang kepada gangster untuk bermaharajalela,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan enam remaja ditahan susulan serangan bersenjata di premis perniagaan di Jalan Air Putih, di sini, 10 Ogos lalu yang menyebabkan dua individu parah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here