AYER KEROH – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, memang wujud amalan ‘sakau’ di Tabung Haji (TH) termasuk membabitkan jumlah sehingga RM12 bilion.
Lantaran itu kata beliau, perbuatan tersebut tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pendedahan mengenai isu berkenaan perlu dibawa ke ruang perbahasan terbuka supaya rakyat mengetahui perkara sebenar, selain memastikan mereka yang menyalahgunakan amanah dikenakan tindakan sewajarnya.
“Di Melaka ini saya nak beritahu, memang ada sakau pada Tabung Haji ini. RM12 bilion hilang bukan sakau? Memang ada (sakau),” katanya ketika berucap pada Kongres PKR di MITC di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebarang dakwaan berkaitan salah guna wang dan amanah rakyat perlu disiasat secara profesional terlebih dahulu sebelum tindakan undang-undang diambil.
Anwar berkata, pihak berkuasa tidak seharusnya berlengah atau memilih bulu dalam menjalankan siasatan termasuk jika ia membabitkan individu yang mempunyai jawatan atau kedudukan tertentu.
“Siapa yang bertindak melanggar peraturan, mencuri harta dan amanah rakyat termasuk orang Islam yang terpaksa dibayar oleh seluruh rakyat Malaysia, ambil tindakan setegas mungkin,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama akhirnya terpaksa menanggung kesan akibat sebarang penyelewengan atau penipuan yang berlaku.
Anwar berkata, proses siasatan perlu dilaksanakan secara profesional oleh agensi berkaitan dan tidak sepatutnya dipengaruhi sentimen politik atau tuduhan bahawa tindakan diambil atas dasar dendam.
“Biar badan yang berkuasa siasat secara profesional. Jangan berlengah, jangan berasa takut, jangan kira hati mana, jawatan mana, siapa dia,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap amalan yang boleh menjejaskan tadbir urus negara, termasuk menghentikan budaya penyalahgunaan kuasa dan kelemahan dalam proses pengurusan.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan tuduhan berunsur ‘dendam’ dalam tindakan terhadap kes-kes besar negara sebagai sesuatu yang perlu dihentikan.
Tegasnya, proses keadilan mesti terus berjalan berlandaskan tindakan yang betul dan bukan kepentingan tertentu.
Menurut Anwar, beberapa kes besar termasuk isu 1MDB dan kes-kes lain tetap diteruskan, namun, beliau mahu rakyat melihat proses tersebut secara adil tanpa mengaitkannya dengan sentimen dendam.
“Kalau ambil tindakan, dinamanya dendam. Tidak ambil tindakan, dikatakan kompromi, lembab…itu tak betul,” katanya.
Beliau berkata, proses tindakan terhadap kes-kes berkenaan perlu diperkukuhkan supaya usaha menegakkan keadilan tidak dilihat sebagai tindakan bermotifkan dendam.
Anwar turut menegaskan, kerajaan tidak boleh hanya berdiam diri atau gagal mengambil tindakan apabila berdepan masalah yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
“Kita akan melakukan perkara yang betul. Sekarang terdapat kesempatan dan terdapat penyelesaian. Oleh itu, kita akan menyelamatkan negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















