Sebuah kemudahan tandas awam yang baru dibina dirakam pada 12 Ogos 2026 di Augarten, sebuah taman bersejarah bergaya Baroque di Vienna, Austria. foto AFP

VIENNA – Seorang wanita di Vienna menyaman pihak berkuasa bandar atas dakwaan diskriminasi berkaitan penggunaan tandas awam apabila membantah wanita perlu membayar untuk menggunakan tandas berpetak, sedangkan lelaki boleh menggunakan urinal secara percuma.

“Saya berada di sebuah taman bersama seorang kawan dan kami berdua perlu menggunakan tandas. Dia boleh menggunakannya secara percuma, tetapi saya perlu membayar 50 sen. Saya terfikir: Bagaimana perkara ini boleh berlaku?.

“Saya mahu semua orang dapat menggunakan tandas secara sama rata. Sama ada kita semua bayar 50 sen atau tiada siapa yang perlu bayar 50 sen,” kata Melanie Gradik, 27, kepada AFP.

Gradik menambah, isu itu bukan mengenai wang.

“Ia perkara kecil, tetapi ia juga contoh bagaimana wanita dilayan secara tidak sama rata dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Gradik telah memfailkan aduan undang-undang terhadap pihak berkuasa perbandaran, dengan alasan hanya mengenakan bayaran kepada wanita untuk menggunakan tandas awam melanggar undang-undang antidis­kriminasi bandar berkenaan.

Menurut peguamnya, Petra Laback, kewujudan urinal percuma untuk lelaki di sesetengah kemudahan awam mewujudkan ketidaksamaan antara lelaki dan wanita.

“Lelaki mempunyai pilihan tambahan secara percuma, sedangkan wanita tidak,” katanya.

Jika Gradik memenangi kes tersebut, ia boleh menjadi duluan undang-undang di seluruh Austria dan pastinya akan memberi kesan kepada pihak berkuasa perbandaran lain, katanya.

Pada masa ini, Vienna mempunyai 168 kemudahan tandas yang diuruskan secara awam, dan 139 daripadanya boleh digunakan secara percuma.

Menurut pihak berkuasa bandar, 29 kemudahan yang mengenakan bayaran berbuat demikian kerana mempunyai petugas tandas.

“Di lokasi yang sangat sibuk dan mempunyai penggunaan tinggi, atas sebab pengurusan adalah perlu untuk memastikan pengawasan bagi menjamin penggunaan yang betul serta kebersihan,” kata Sandra Holzinger, jurucakap pihak berkuasa perbandaran kepada AFP.

“Di 29 kemudahan ini, bayaran penggunaan sebanyak 50 sen dikenakan untuk menggunakan tandas berpetak kepada semua orang tanpa mengira jantina,” katanya.

Beliau menambah, bahawa urinal turut disediakan “bagi mengelakkan pencemaran akibat membuang air kecil di kawasan awam.

Wanita di Austria menanggung beberapa kos tambahan berbanding lelaki dalam kehidupan seharian, seperti membeli produk haid dan kosmetik yang lebih mahal, menurut jurucakap Elke Hanel-Torsch, wakil bandar Vienna bagi isu-isu wanita.

Dalam perjanjian gabungan untuk mentadbir bandar tersebut, Parti Demokratik Sosial dan golongan liberal berjanji untuk memperluas penyediaan tandas awam serta mengkaji kemungkinan menjadikan tandas awam percuma untuk semua.

Di Taman Augarten, tandas awam baharu yang dibuka pada 2025 memberikan gambaran tentang kemungkinan sistem tandas awam pada masa hadapan.

Direka supaya sebati dengan taman bersejarah bergaya Baroque itu, kemudahan tersebut mempunyai reka bentuk seramik melengkung, pencahayaan semula jadi melalui tingkap bumbung, ciri-ciri mesra orang kurang upaya, pancuran air minuman — dan penggunaan percuma.

Kemudahan baharu itu menggantikan tandas lama dan bertujuan menyediakan tandas yang percuma serta mudah diakses oleh semua orang, tanpa mengira jantina. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here