JOHOR BAHRU – UMNO berdepan dilema yang memberi risiko besar sekiranya menjalinkan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, ini kerana pendirian Pas boleh berubah bila-bila masa mengikut kepada mafhum Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengingatkan bukan sesuatu yang mudah untuk menjalin kerjasama dengan Pas.
“Abdul Hadi kata, kenyataan Ahmad Samsuri (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PN) Bersatu masih merupakan anggota PN berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan PN.
“Tetapi pada Abdul Hadi, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) terkeluar daripada PN berdasarkan tindakan parti berkenaan.
“Daripada segi mafhumnya (maksudnya) Bersatu lawan parti dia sendiri (PN) di Negeri Sembilan.
“Faham sendirilah. Maka apakah Pas ikut Perlembagaan atau ikut mahfum,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.
Kenyataan dikeluarkan Mohd Puad itu susulan tindakan Abdul Hadi mempersoalkan Bersatu yang bertanding menentang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Abdul Hadi memberi reaksi berkenaan susulan wujud perbezaan pandangan antara beliau dan Ahmad Samsuri berhubung status keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat untuk membentuk gabungan politik baharu.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, kedudukan Bersatu dalam PN belum berubah walaupun timbul dakwaan keanggotaan parti itu terhenti disebabkan hasrat penubuhan gabungan baharu tersebut. – MalaysiaGazette
















