KUALA LUMPUR – Lima penunggang motosikal ditahan selepas disyaki melakukan aksi berbahaya di jalan raya dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 778 buah motosikal telah diperiksa dan sebanyak 414 saman telah dikeluarkan.
Daripada jumlah itu, 369 saman dikeluarkan JSPT Kuala Lumpur, manakala 45 saman lagi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Gombak.
“Selain itu, sebanyak 41 motosikal telah disita untuk tindakan lanjut, masing-masing 38 oleh JSPT Kuala Lumpur dan tiga oleh BSPTD Gombak.
“Operasi tersebut turut membawa kepada penangkapan lima lelaki bagi kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kesemua individu terbabit dibawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut dan operasi berkenaan dijalankan bagi membanteras pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya yang melibatkan penunggang motosikal.
“PDRM turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi, menunggang secara berbahaya atau terbabit dalam kegiatan lumba haram.
“Ibu bapa juga disaran memantau aktiviti serta penggunaan motosikal oleh anak-anak bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” jelasnya – MalaysiaGazette
















