GEORGE TOWN – Seni pantun terus diperkasa di Pulau Pinang menerusi Pertandingan Pesta Pantun (PESANTUN) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang menghimpunkan 13 kumpulan dari lima negeri.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara itu berlangsung di Auditorium P. Ramlee, JKKN Pulau Pinang, malam tadi.
JKKN Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, penganjuran PESANTUN merupakan usaha berterusan memperkasakan seni pantun sebagai warisan budaya tidak ketara yang kaya dengan keindahan bahasa dan pemikiran.
Menurutnya, program itu turut menjadi platform bagi menyemarakkan minat masyarakat khususnya generasi muda terhadap seni berpantun, di samping memastikan warisan berkenaan terus dipelihara dan diwarisi.
“Pertandingan tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 13 kumpulan dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka.
“Menariknya, setiap pusingan pertandingan mengangkat tema berbeza yang menguji kreativiti dan keupayaan peserta menghasilkan pantun secara spontan, segar serta menepati tema ditetapkan.
“Antara tema yang diketengahkan ialah Budi Bahasa, Warisan, Lawak Jenaka, Kasih Sayang serta Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN, Amirulazam Ibrahim yang mewakili Ketua Pengarah JKKN, Pengarah JKKN Pulau Pinang, Eezmadyna Azalin Nordin dan Pengarah DBP Wilayah Utara, Sharrul Rizal Hashim.
Dalam pertandingan itu, kumpulan Pamor Sempana USM muncul juara, diikuti Lentera Irama di tempat kedua dan Dian Pendeta di tempat ketiga.
Tambah kenyataan itu, JKKN Pulau Pinang komited meneruskan penganjuran program kesenian dan kebudayaan bagi mendekatkan masyarakat dengan seni warisan, selain memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemerkasaan warisan budaya negara. – MalaysiaGazette
















