Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo

PUTRAJAYA – DAP perlu membuat keputusan yang terbaik untuk negara ketika parti itu berdepan penentuan penting mengenai hala tuju dan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, keputusan yang dibuat pada persidangan parti itu hari ini perlu mengambil kira kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, selepas kira-kira tiga tahun setengah berada dalam Kerajaan Perpaduan, sudah tiba masanya untuk DAP menilai semula pencapaian, kelemahan serta perkara yang masih perlu diperbaiki.

“Kita kena lihat apakah yang dapat dipersetujui antara semua parti dan dapat kita laksanakan, supaya kita dapat pastikan ada reformasi ataupun pembaharuan yang perlu dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Persidangan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pagi ini.

Menurut Gobind, tempoh tiga tahun setengah bukanlah tempoh panjang, terutama jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu yang mempunyai masa puluhan tahun untuk melaksanakan dasar masing-masing.

Katanya, DAP sepanjang tempoh itu telah memberi tumpuan kepada usaha membawa pembaharuan, namun persoalan yang perlu dijawab sekarang ialah sama ada reformasi yang dilaksanakan sudah mencukupi.

Beliau berkata, keputusan beberapa pilihan raya negeri yang berlangsung baru-baru ini juga perlu diambil kira kerana ia menunjukkan perlunya DAP menimbang semula pendekatan dan menentukan bagaimana parti itu mahu bergerak ke hadapan.

Dalam masa sama, Gobind berkata, kestabilan politik perlu dikekalkan kerana ia memberi keyakinan kepada pelabur antarabangsa untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Katanya, perkembangan ekonomi sepanjang tempoh Kerajaan Perpaduan menunjukkan syarikat-syarikat besar dunia memilih Malaysia untuk membawa masuk pelaburan, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Namun, beliau mengingatkan perkembangan itu tidak bermakna kerajaan boleh mengetepikan tekanan ekonomi yang masih dirasai rakyat dan langkah tambahan perlu diambil bagi meringankan beban mereka.

“Marilah kita bersama-sama membuat satu keputusan, iaitu keputusan yang terbaik untuk negara kita, supaya kita dapat memastikan negara terus bergerak ke hadapan dengan ekonomi yang stabil dan kukuh, serta rakyat dapat maju bersama-sama,” katanya.

Persidangan DAP hari ini menjadi medan penting untuk parti menentukan pendirian mengenai peranannya dalam Kerajaan Perpaduan, dengan keputusan yang dibuat bakal memberi kesan kepada hala tuju parti serta kerajaan untuk baki tempoh pentadbiran. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here