MELAKA — Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan rakyat tidak boleh dipersalahkan atas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bermuhasabah bagi memahami punca parti itu ditolak pengundi.
Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan pilihan raya juga perlu diterima sebagai terjemahan suara rakyat dan tidak wajar dijadikan alasan untuk mencari kambing hitam susulan kekalahan parti.
“Kalau rakyat menolak kita, persoalannya bukan mengapa rakyat tidak memilih kita. Persoalannya ialah apakah yang menyebabkan rakyat tidak memilih kita?
“Itulah soalan yang mesti kita jawab dengan jujur, bukan mencari kambing hitam tetapi untuk mencari jalan keluar.
“…kita tidak boleh mengatakan rakyat tidak faham. Kita tidak boleh mengatakan rakyat membuat keputusan yang salah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini, hari ini.
Katanya, PKR tidak sepatutnya mempersoalkan mengapa rakyat tidak memilih parti itu atau mendakwa pengundi tidak memahami keadaan, sebaliknya perlu berani menjawab kelemahan sendiri.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau menerima tuntutan enam Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan yang mahu beliau mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan parti pada PRN berkenaan.
“Saya memahami bahawa amanah ini besar dan tanggungjawab ini amat berat. Saya juga mengambil maklum tuntutan enam Ketua Cabang Negeri Sembilan yang mahu saya mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan kita.
“Saya ingin menyatakan secara terbuka bahawa saya bersetuju dengan tuntutan tuan-tuan. Saya juga menerima tanggungjawab ini. Saya memimpin, maka saya bersedia untuk bertanggungjawab. Saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab dan saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa,” katanya.
Beliau turut mengakui terdapat kelemahan dalam kepimpinan serta strategi yang dilaksanakan sebelum ini.
“Adakah segala keputusan yang saya buat adalah sempurna? Tidak. Adakah segala strategi yang kita lakukan berjaya? Tidak. Adakah terdapat kelemahan dalam kepimpinan? Ya, saya mengakuinya.
“Saya mohon ampun dan maaf kepada seluruh anggota parti atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang saya memikul amanah ini,” katanya.
Aminuddin berkata, kekalahan itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk PKR berhenti berjuang, sebaliknya perlu dijadikan titik permulaan kepada proses pembinaan semula parti.
“Kalau organisasi perlu disusun semula, kita susun. Kalau strategi perlu diperbaiki, kita perbaiki. Kalau jentera perlu diperkemaskan, kita perkemaskan.
“Kalau kita perlu kembali turun ke akar umbi, kita turun. Dan kalau saya sendiri perlu mendengar lebih banyak kritikan daripada anggota, saya sedia untuk mendengar,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat kepimpinan parti terhadap kedudukannya.
“Saya juga mengambil maklum bahawa apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan parti terhadap diri saya, saya bersedia menerimanya.
“Jawatan bukan milik saya, amanah adalah milik parti. Jika parti melihat ada keputusan yang perlu dibuat demi masa depan Keadilan, saya akan menghormatinya,” katanya. – MalaysiaGazette
















