Naib Presiden Keadilan, Chang Lih Kang menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke walaupun berdepan kempen berasaskan politik identiti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, membuktikan naratif sedemikian masih boleh ditangkis, kata Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang.

Beliau berkata, prestasi Anthony Loke menunjukkan parti politik masih mampu menembusi kelompok pengundi tertentu walaupun pihak lawan cuba membentuk pertandingan pilihan raya berdasarkan sentimen perkauman.

Menurutnya, sokongan pengundi Melayu kepada Anthony Loke meningkat lima peratus, manakala sokongan keseluruhan meningkat tiga mata peratusan, namun beliau hanya memperoleh 47 peratus undi dan tewas di kerusi berkenaan.

“Pembangkang memainkan politik identiti. Dalam keadaan itu, kita fikir, ‘Oh, Anthony Loke sudah kalah, bermakna mereka berjaya.’ Tidak.

“Jika kita lihat dengan lebih dekat, sokongan Melayu kepada Loke meningkat lima peratus walaupun berdepan keadaan sedemikian. Sokongan keseluruhannya pula meningkat tiga peratus.

“Namun, ia tidak mencukupi untuk menang kerana pertandingan itu adalah pertembungan satu lawan satu. Beliau hanya memperoleh 47 peratus undi, yang tidak cukup untuk memenangi kerusi berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026, di sini, hari ini.

Lih Kang berkata, angka berkenaan membuktikan parti politik masih boleh memperluaskan sokongan pengundi sekiranya bersedia melakukan usaha yang diperlukan.

Sehubungan itu, beliau menggesa anggota PKR kembali mendekati masyarakat masing-masing bagi menerangkan dasar kerajaan dan mesej politik parti dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, belliau sendiri akan memperhebatkan usaha mendekati masyarakat Cina bagi menjelaskan perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Hari ini, tanpa mengira kaum, kita perlu kembali kepada masyarakat masing-masing, membawa isu ini kepada mereka dan menerangkannya. Saya juga akan menyahut cabaran ini.

“Saya akan memperhebatkan usaha, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, supaya mereka memahami apa yang sedang berlaku di peringkat Persekutuan dan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here