Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Aminuddin Harun menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

MELAKA – Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh sekadar menganggap apa sahaja yang dilakukan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai betul, sebaliknya mesti mampu menjelaskan dengan fakta mengapa mereka menyokongnya.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, kekuatan parti tidak boleh dibina atas emosi semata-mata, sebaliknya mesti berasaskan kefahaman, sejarah, dokumen dan ilmu.

“Saya tidak mahu anggota Keadilan hanya mampu berkata, ‘Anwar betul.’ Saya mahu anggota kita mampu menjawab, ‘Mengapa Anwar betul?’ Dengan fakta, dengan sejarah, dengan dokumen, dengan ilmu dan dengan adab.

“Kita tidak boleh membina perjuangan hanya berdasarkan emosi. Kita mesti membina perjuangan berdasarkan kefahaman,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau, keberkesanan kepimpinan PKR bergantung kepada keupayaan parti mencerdaskan masyarakat, namun usaha itu perlu dimulakan daripada anggota parti sendiri.

“Kita sedar bahawa keberkesanan kepimpinan kita bergantung kepada sejauh mana kita berjaya mencerahkan dan mencerdaskan masyarakat.

“Kita boleh mempunyai pemimpin yang berkualiti seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi selagi masyarakat yang kita pimpin masih dibelenggu kejahilan, kelemahan, sifat buruk dan kemunduran, nescaya kita tidak akan berjaya membina negara bangsa yang hebat dan berkualiti,” katanya.

Aminuddin atau dikenali Tok Min yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut mengingatkan PKR supaya tidak menjadi parti yang sekadar mempertahankan kerajaan, sebaliknya perlu memastikan pentadbiran terus berada di landasan reformasi.

“Kita mesti menjadi suara hati kerajaan, menjadi pengingat kepada kerajaan dan apabila perlu, kita mesti berani mengatakan bahawa apa yang telah dilakukan masih belum mencukupi. Kerana itulah makna sebenar reformasi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here