JOHOR BAHRU – Tindakan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan tindakan saman fitnah RM5 juta terhadap pemilik akaun yang didakwa mengaitkannya dengan pelbagai isu Tabung Haji (TH) adalah terlalu drastik dan keterlaluan.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, sebagai bekas timbalan menteri dan seorang ahli politik senior, Asyraf seharusnya faham bahawa isu TH merupakan isu terkait kepentingan awam khususnya orang Melayu Islam.
Jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, apatah lagi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu merupakan orang nombor dua mengikut hirerarki kementerian yang bertanggungjawab ke atas tabung umat Islam tersebut.
“Tindakannya yang sibuk menghantar LOD seolah-olah menunjukkan Datuk Dr Asyraf terlalu takut dengan sebarang komen dan kebimbingan yang disuarakan oleh rakyat marhaen.
“Sedangkan sebagai bekas timbalan menteri dan ahli politik, sepatutnya tindakan Datuk Dr Asyraf ialah menjawab segala kritikan dengan jelas, tuntas dan berhemah.
“Bahkan, tindakan Datuk Dr Asyraf dilihat keterlaluan apabila beliau sendiri bertindak meletakkan gambar seorang individu yang langsung tidak menyebut nama beliau tetapi telah dikongsi oleh individu lain dan menggambarkan seolah-olah individu tersebut telah memfitnah beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, atas dasar itu, Pemuda Amanah dengan rendah diri menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada mana-mana individu telah menerima LOD daripada Asyraf terutama mereka yang hanya meminta maklum balasnya sebagai bekas timbalan menteri agama.
“Kami ambil maklum ramai yang menerima LOD ini adalah rakyat marhaen dan bukan elit politik yang mampu mempertahankan diri mereka di mahkamah kelak,” katanya.
Jumaat lalu, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO, mengarahkan peguamnya menyerahkan LOD tersebut bagi memulakan tindakan saman fitnah itu.
Beliau berkata, arahan itu diberikan kepada peguamnya, Datuk Adnan Seman susulan dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah serta bertujuan memburukkan dan menjatuhkan reputasinya.- MalaysiaGazette
















