KUALA LUMPUR – Cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu dibincangkan secara serius dan teliti kerana akta itu bukan sekadar mengawal kebebasan dan disiplin mahasiswa, sebaliknya menjadi undang-undang induk berkaitan penubuhan serta pentadbiran institusi pengajian tinggi.
Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sebarang langkah memansuhkan AUKU perlu disertai perundangan baharu yang lebih baik dan komprehensif bagi menggantikannya.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, beliau pernah memainkan peranan dalam memperluaskan kebebasan mahasiswa ketika menjadi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi pada 2012, termasuk meyakinkan kerajaan supaya meminda Seksyen 15 AUKU yang ketika itu menyekat penglibatan mahasiswa dalam politik.
“Dengan pindaan itu, mahasiswa diizinkan menyertai politik, termasuk bertanding dalam pilihan raya umum.
“Ini kemudiannya membolehkan mahasiswa Universiti Malaya (UM), Prabakaran Parameswaran bertanding dalam PRU14 di kawasan Parlimen Batu dan menang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, isu kebebasan mahasiswa perlu dilihat secara lebih menyeluruh kerana selain terdapat ruang kebebasan yang masih perlu diperluaskan, wujud juga masalah pengurusan sesetengah universiti yang bersifat drakonian.
Katanya, terdapat pihak pengurusan universiti yang menyalahgunakan AUKU untuk membendung kebebasan mahasiswa dan perkara itu perlu diperbetulkan melalui pengurusan universiti, bukannya semata-mata dengan meminda AUKU.
“Ruang kebebasan mahasiswa perlu diperbaiki. Ini melibatkan pindaan AUKU. Manakala pengurusan universiti yang negatif perlu diperbetulkan. Ini tidak melibatkan pindaan AUKU,” katanya.
Beliau berkata, kebebasan di universiti juga tidak seharusnya dilihat dari sudut mahasiswa sahaja kerana ia turut membabitkan kebebasan ahli akademik.
Menurutnya, kebebasan bukan sekadar berkaitan hak bersuara dan berpersatuan, tetapi melibatkan soal roh universiti serta kecemerlangan akademik yang mempunyai nilai dan prinsip.
“Sebahagian daripada kandungan dan proses mencapai kecemerlangan akademik yang punya roh ini melibatkan soal kebebasan mahasiswa dan ahli akademik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, AUKU bukan undang-undang yang hanya menguruskan kebebasan dan disiplin mahasiswa kerana ahli akademik turut tertakluk kepada undang-undang lain.
Beliau menegaskan, AUKU merupakan akta induk yang menguruskan universiti dan kolej universiti dari aspek penubuhan serta pentadbiran.
“Maknanya, jika AUKU dimansuhkan, ia perlu ada penggantinya,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Cadangan Reformasi Pendidikan PN yang diterbitkan pada 21 September 2024 turut mencadangkan supaya AUKU digantikan dengan perundangan baharu yang lebih baik dan komprehensif dari aspek perundangan serta governans.
Sementara itu, Saifuddin berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen tentang Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK), beliau telah mendapat kesefahaman ahli jawatankuasa untuk mengundang Menteri Pendidikan Tinggi ke mesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan secara mendalam.
“Sekretariat JKPK sedang menghubungi pejabat Menteri KPT,” katanya. -MalaysiaGazette
















