KUANTAN – Kedai emas di sebuah pusat beli belah disamun beberapa individu dikatakan menjadi penyebab kesesakan teruk lalu lintas turun dari puncak Genting Higlands, Bentong dipercayai sejak tengah hari tadi.
Beberapa perkongsian pengguna media sosial Threads mendakwa diberitahu oleh pihak polis bahawa sekatan pergerakan sementara terpaksa dilakukan bagi menahan suspek yang terlibat.
“Dah masuk tiga jam melekat nak turun dari Genting ni. Ada ‘roadblock‘ besar-besaran. Dengar cerita ada kes rompakan kedai emas di Genting,” kongsi seorang pengguna @chefhafizzam_offshore.
“Genting tengah lockdown buat sementara waktu. Patut la dekat kawasan apartment adik aku pun ada polis jaga sampai dua kereta peronda dekat post guard. Setiap kereta masuk akan diperiksa.
“Seram ya. Tapi susah la perompak nak lepas kalau kawasan Genting ni. Setiap jalan turun tu ada checkpoint. Confirm dapat tangkap punya,” kata seorang lagi pengguna @nia.naas.
Sementara itu, satu klip video memaparkan dua individu berpakaian hitam berlari membawa sebuah beg guni besar dipercayai di dalam sebuah pusat beli belah di tempat peranginan itu dimuat naik seorang pengguna @j00raaaa dan tular di media sosial.
Sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai dakwaan kejadian samun tersebut mahu pun perlaksanaan sekatan pergerakan sementara seperti dakwaan di media sosial. – MalaysiaGazette
















